Sukarelawan Siswa Pemangkin Mahasiswa Idaman: UMT Terus Cemerlang Dalam Penerapan Nilai Kemanusiaan

Kuala Lumpur, 17 Jun 2025 – Penglibatan aktif mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam bidang kesukarelawanan terus memperkukuh peranan institusi ini sebagai peneraju dalam melahirkan mahasiswa berjiwa besar dan peka terhadap isu kemasyarakatan. Menerusi pelbagai program kemanusiaan dan pembangunan komuniti, mahasiswa UMT bukan sahaja memupuk nilai empati malah turut memperkasakan kemahiran kepimpinan melalui pengalaman lapangan yang menyeluruh.

Menurut Exco Kesukarelawanan dan Kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar UMT, Muhammad Afiq Naqiuddin Mohd Afizal, penglibatan beliau dalam dunia kesukarelawanan bermula sejak di bangku sekolah lagi melalui program memberi makan secara percuma di kawasan kejiranan. Pengalaman tersebut telah mencetuskan rasa keinsafan dan dorongan untuk terus membantu golongan memerlukan.

Beliau turut menyatakan bahawa budaya kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa kini semakin berkembang pesat dengan pelbagai inisiatif yang dijalankan sama ada di peringkat kementerian, universiti mahupun NGO. Program seperti Eratkan Kasih Santuni Insan anjuran UMT di Lorong Haji Taib, Kuala Lumpur sempena Ramadan lalu merupakan contoh nyata usaha mahasiswa dalam menyantuni golongan gelandangan melalui pengagihan pakaian, makanan dan perkhidmatan potong rambut percuma.

“Kesukarelawanan ini bukan sekadar memberi, tetapi membina. Ia membentuk Mahasiswa IDAMAN – insan yang berilmu, berdedikasi, berempati dan bersedia memimpin. Di UMT, nilai ini diterapkan secara holistik melalui kelab-kelab seperti GASS, Penyayang, GPS dan MYV yang turut aktif menguruskan program komuniti dan kebajikan seperti bank makanan,” jelas Afiq ketika beliau ditemu bual pada slot Sukarelawan Siswa: Pemangkin Mahasiswa Idaman, Selamat Pagi Malaysia.

Dalam menyemai nilai kemanusiaan yang menyeluruh, mahasiswa UMT turut melaksanakan program bersifat mendidik seperti Blue School, yang menyasarkan pelajar sekolah untuk meningkatkan kesedaran tentang kelautan dan persekitaran marin. Program ini menggabungkan pembelajaran teori, kerja lapangan di stesen penyelidikan, dan pameran hasil penemuan sebagai platform interaksi antara universiti dan komuniti.

Selain itu, lawatan ke rumah penjagaan warga emas seperti Summer Eldercare di Chendering dibawah program Minggu Penghayatan dan Perpaduan Islam 2025 turut memberi pengalaman bermakna kepada mahasiswa dalam memahami dan menyantuni golongan berisiko. Aktiviti seperti ini secara tidak langsung meningkatkan kepekaan sosial serta mendidik mahasiswa untuk menjadi agen perubahan dalam masyarakat.

Sebagai nasihat kepada mahasiswa yang ingin menceburi bidang kesukarelawanan, Afiq menekankan kepentingan keikhlasan dan dedikasi dalam menerapkan elemen Darmabakti bagi setiap misi. “Kita harus turun padang dengan hati yang terbuka, bukan untuk mencari pujian, tetapi untuk memberi dengan sepenuh jiwa. Dan jika anda ingin bermula, UMT adalah tempat terbaik untuk menanam semangat sukarelawan,” katanya mengakhiri sesi.

UMT terus komited menjadi institusi pendidikan tinggi yang bukan sahaja menekankan pencapaian akademik, tetapi juga pembangunan sahsiah dan jati diri mahasiswa, menjadikan mereka insan yang bukan sahaja cemerlang, tetapi juga berbakti dan berjiwa rakyat.

ms_MYMS