40 Pelajar UMT Perkasa Kepimpinan di International Young Future Leaders Summit (iFUTURE 2025)

Kuala Lumpur, 13 Oktober 2025 – Seramai 40 pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menyertai International Young Future Leaders Summit (iFUTURE 2025) anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang berlangsung dari 11 hingga 13 Oktober 2025 di World Trade Center Kuala Lumpur (WTCKL).

Persidangan berprestij ini menghimpunkan peserta dari pelbagai institusi dan negara di seluruh dunia, menjadi platform penting dalam memperkasa kepimpinan muda, memperkukuh inovasi serta memperluas tanggungjawab sosial. Program ini juga selaras dengan aspirasi UMT untuk melahirkan pemimpin masa depan yang berwawasan, berintegriti dan berjiwa global.

iFUTURE 2025 telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang menegaskan kepentingan bahawa kepimpinan masa depan perlu dipupuk bukan sahaja dari aspek pengetahuan, tetapi juga daya tahan, karakter dan semangat kesukarelawanan.

Sepanjang persidangan, delegasi UMT telah berpeluang menyertai pelbagai sesi forum, wacana dan diskusi interaktif bersama tokoh nasional dan antarabangsa, membincangkan isu-isu berkaitan kepimpinan, inovasi sosial, kelestarian dan masa depan global.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Profesor Dr Mohd Izani Mohd Zain, penyertaan ini merupakan manifestasi usaha berterusan universiti dalam membina kapasiti kepimpinan pelajar yang seimbang dari aspek intelektual, emosi dan sosial.

“UMT sentiasa komited melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga memiliki jati diri, empati dan kesedaran global. Program seperti iFUTURE 2025 membuka ruang kepada pelajar untuk berinteraksi, berfikir secara kritikal dan membina jaringan antarabangsa yang bermanfaat,” katanya.

Penyertaan ini sekali lagi membuktikan komitmen UMT dalam memperkukuh pembangunan kepimpinan pelajar, selaras dengan visinya untuk melahirkan graduan holistik, berdaya saing dan berjiwa kepimpinan di peringkat antarabangsa.

en_GBEN