DARI DEBAT BINA JATI DIRI, MAHASISWA KINI BIJAK BERSUARA

KUALA LUMPUR, 9 MEI – Dalam usaha membina jati diri, memperkukuh daya fikir dan menjana intelektual mahasiswa, Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM) terus komited menyediakan wadah pembangunan intelektual menerusi pengucapan awam termasuk debat dan inisiatif baharu program pembangunan bakat berimpak tinggi.

Dalam satu temu bual eksklusif menerusi Slot AWANI Pagi yang bertajuk “Dari Debat Bina Jati Diri, Mahasiswa Kini Bijak Bersuara”, dua panel jemputan telah berkongsi pandangan dan pengalaman masing-masing mengenai peranan MADUM dan aktiviti pengucapan awam seperti debat dalam membentuk kepemimpinan dan karakter mahasiswa hari ini.

Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) merangkap Pengerusi MADUM, menjelaskan bahawa sejak penubuhannya pada tahun 1996, MADUM telah menjadi medan penting untuk membina pemikiran kritis dalam kalangan mahasiswa. Beliau menegaskan bahawa peranan MADUM bukan sahaja menganjurkan pertandingan debat berprestij seperti Debat Diraja tetapi memperluaskan lagi akses kepada latihan pengucapan awam dan pembangunan intelektual bagi membentuk pendebat dan pemimpin yang kompeten.

Beliau turut menyambut baik saranan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir agar kepemimpinan mahasiswa diperkukuhkan lagi melalui nilai integriti dan kemahiran komunikasi yang mantap. Menurut beliau, MADUM akan terus berusaha memenuhi hasrat ini menerusi program latihan pengucapan awam termasuk debat seperti Wira Bicara Aspirasi Sang Juara Hujah dan Wira Bicara Pentas Orator Muda selain menjalin kerjasama strategik dengan institusi luar khususnya dari agensi media.

Beliau juga menegaskan bahawa kejayaan penganjuran program-program MADUM bergantung kepada sokongan padu daripada pelbagai pihak khususnya universiti awam, agensi kerajaan dan rakan strategik luar yang turut komited dalam pembangunan kemahiran pengucapan awam mahasiswa.

Sementara itu, Muhammad Ilham Hafiz Azmi, alumni pendebat UIAM yang kini bertugas sebagai pelatih dalam kamar di firma guaman Tetuan Ariff Rozhan & Co, berkongsi bagaimana pengalaman berdebat di universiti memberi kelebihan besar dalam alam kerjaya.

“Debat bukan hanya tentang menang hujah, tetapi ia membentuk keyakinan, keupayaan memahami perspektif berbeza dan menyampaikan idea secara berstruktur. Ini semua menjadi aset penting dalam dunia profesional,” katanya.

Beliau turut menggalakkan mahasiswa untuk tidak takut mencuba. “Keyakinan lahir daripada pendedahan dan latihan berterusan. Sertai pertandingan yang berskala kecil sangat membantu mereka yang baru ingin berjinak dengan aktiviti debat” ujarnya.

Aktiviti pengucapan awam ini berfungsi sebagai wahana ampuh dalam melahirkan mahasiswa yang kritis, berani bersuara dan matang dalam menilai isu. MADUM komited untuk terus menjadi peneraju dalam memperkasa budaya pengucapan awam berasaskan ilmu dan integriti dalam kalangan generasi muda Malaysia.

Untuk makluman, UMT telah diberikan amanah oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk mempengerusikan MADUM selama dua tahun bermula Mac 2025. UMT turut terpilih menjadi tuan rumah pertandingan Pidato Kebangsaan Bahasa Melayu Piala Menteri Pendidikan Tinggi pada tahun ini.

en_GBEN