
KUALA NERUS, 26 Jun 2025 – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus mengorak langkah dalam memperkasa kepemimpinan mahasiswa apabila berjaya menganjurkan program berprestij, iFUTURE@UMT 2025, bertempat di Dewan Sultan Mizan. Berteraskan tema “Innovating Leadership: Empowering Youth For A Digital Future”, program ini membawa aspirasi besar dalam melahirkan pelapis pemimpin negara yang bersedia menghadapi cabaran era digital.
Program signature Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ini menghimpunkan ratusan mahasiswa dari institusi pengajian tinggi seluruh negara, termasuk Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), dan Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail. Lebih membanggakan, kehadiran pelajar antarabangsa dari India, Bangladesh, Indonesia, Pakistan, Nigeria, Iran dan Jordan turut memberi nilai tambah dalam memperkukuh jaringan kepimpinan rentas budaya.

Kemuncak program ialah Sesi Dialog iFUTURE@UMT 2025 yang menampilkan Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia, YBhg. Dato’ Dr. Hj Roslan bin Hussin. Sesi tersebut yang dikendalikan oleh En. Muhammad Hisyamuddin bin Sazali (Penolong Pendaftar, PPPM) menyentuh secara mendalam peranan mahasiswa dalam membentuk landskap kepemimpinan digital negara.

Profesor Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri bin Ibrahim, Naib Canselor UMT, dalam ucapannya menyifatkan kejayaan penganjuran program ini sebagai manifestasi Agenda Pemerkasaan Mahasiswa yang menjadi keutamaan universiti. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMT di bawah pimpinan saudara Muhammad Aqasha Mukris bin Zainuri atas pengurusan yang cemerlang.

Profesor Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri bin Ibrahim, Naib Canselor UMT, dalam ucapannya menyifatkan kejayaan penganjuran program ini sebagai manifestasi Agenda Pemerkasaan Mahasiswa yang menjadi keutamaan universiti. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMT di bawah pimpinan saudara Muhammad Aqasha Mukris bin Zainuri atas pengurusan yang cemerlang.
Sementara itu, Ketua Urus setia Pelajar, saudari Qistina Wafiyyah binti Shahrul Nizam, menegaskan bahawa program ini memainkan peranan besar dalam membentuk karakter kepemimpinan mahasiswa melalui pendekatan dialog terbuka, kerjasama strategik dan eksplorasi idea baharu.
Satu lagi sorotan penting ialah prapeluncuran Majlis Anugerah Ikon Siswa (AIS) UMT 2025, sebagai platform pengiktirafan tertinggi kepada mahasiswa UMT dalam pelbagai bidang termasuk kepimpinan, inovasi, kesukarelawanan, keusahawanan, kelestarian dan keilmuan. Format baharu AIS yang lebih eksklusif turut memperkenalkan kategori-kategori baharu dengan pengiktirafan yang lebih berprestij seperti sijil, trofi khas dan gold bar.

Selain perkongsian dari panel-panel jemputan, iFUTURE@UMT 2025 juga turut mengadakan pertandingan poster inovasi kepada kelab dan persatuan dalam kalangan pelajar UMT. Pemenang pertama poster membawa pulang geran sebanyak RM500 daripada Kelab Baratham, kedua membawa pulang geran sebanyak RM300 daripada kelab PERSAS dan tempat ketiga pula sebanyak RM200 daripada kelab NAVAL.
Dengan dukungan penuh KPT dan Akademi Kenegaraan Malaysia, serta kerjasama erat seluruh warga kampus, iFUTURE@UMT 2025 menjadi bukti bahawa mahasiswa UMT mampu mengemudi kepimpinan masa hadapan di persada global.
