“MENJULANG SEMANGAT MALAYSIA MADANI: MAHASISWA UMT PEWARIS NEGARA”

11 Mei 2025 – Sekali lagi, pelajar Tahun 1 Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyahut cabaran menyertai Program Mahasiswa Negara 2025 di Kursus Kenegaraan Malaysia MADANI. Program ini merupakan kesinambungan daripada pelaksanaan Program PEWARIS: Karisma Bakat Terbaik Negara 2024 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di bawah seliaan Majlis Kepimpinan dan Latihan Universiti-Universiti Malaysia (MAKLUM) dengan kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri.

Program Mahasiswa Negara 2025 yang berlangsung selama tiga hari dua malam di PLK Kuala Lipis, Pahang telah mengaplikasikan empat siri modul utama, iaitu kepimpinan, jati diri, insaniah, dan kenegaraan. Modul-modul ini diterjemahkan melalui pelbagai aktiviti dinamik seperti ice breaking, kerja berpasukan (Smart Tunnel), perkhemahan, pengucapan awam, penetapan minda, Inspirasi Malaysia MADANI, latihan ketahanan diri, Interaktif Kenegaraan, serta turut menerapkan elemen kerohanian seperti solat berjemaah bagi peserta beragama Islam.

Program ini merupakan pendekatan yang amat penting dalam usaha mengukuhkan pemahaman mahasiswa terhadap gagasan Malaysia MADANI, yang merangkumi enam (6) teras utama iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan, dan Ihsan.

Salah seorang peserta UMT, Saudara Adiq Ikhfan Daniel Yasin, yang juga telah dilantik sebagai Penghulu Siri 3, menyatakan“Program Mahasiswa Negara ini merupakan antara program terbaik yang pernah beliau sertai. Program ini sangat inklusif, menghimpunkan pelbagai aktiviti yang menyentuh aspek kenegaraan, perlembagaan, kerohanian dan intelektual yang merupakan elemen penting bagi membentuk mahasiswa menjadi pemimpin masa depan.”

Majlis Penutup Program Mahasiswa Negara – Kursus Kenegaraan Malaysia MADANI (Zon Timur) Siri 3 telah disempurnakan oleh YBhg. Profesor Dr. Mohd Izani bin Mohd Zain, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMT). Turut hadir memeriahkan majlis adalah YBrs. Encik Mayadi Ismail, Penolong Pengarah, Pusat Latihan Kenegaraan Lipis, Akademi Kenegaraan Malaysia, YBrs. Encik Mohd Zuhairi bin Che Mohd Nawi, Penyelaras Program, Kursus Kenegaraan Malaysia MADANI Mahasiswa Negara, YBrs. Encik Mohd Khir Amin Zakarya, Penolong Pendaftar Kanan, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMK, merangkap Ketua Fasilitator Siri 3 dan YBrs. Encik Jamaat Al Haffis Mansor, Wakil Sekretariat Majlis Kepimpinan dan Latihan Universiti Awam Malaysia (MAKLUM), Siri 3 Program Mahasiswa Negara.

Penganjuran program ini diharapkan dapat diteruskan melibatkan penyertaan dari pelbagai peringkat mahasiswa pada masa akan datang bagi membentuk generasi pemimpin yang menjiwai negara bangsa.

en_GBEN