Kuala Lumpur, 11 April 2025 – Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus meneroka bidang inovasi digital dalam mendukung agenda kelestarian apabila pasukan finalis dari UMT, pasukan Pian The Penguin berjaya dinobatkan sebagai juara Pertandingan Game Jam Laut (GML) 2025 yang berlangsung di Francais Alliances, Kuala Lumpur.
Pasukan ini diketuai oleh Profesor Madya Dr. Ahmad Faisal Mohamad Ayob, Pensyarah Kanan UMT, bersama ahli pasukan yang terdiri daripada Profesor Madya Dr. Wan Mohd Rauhan Wan Hussin serta dua orang pelatih industri dari UMT. Projek yang dihasilkan, iaitu sebuah permainan video yang interaktif yang mengetengahkan isu perubahan iklim dan penjagaan alam sekitar.
Permainan video tersebut dibangunkan semasa Program Ocean Game Jam Weekend Hackathon pada 29 Ogos 2024 dan telah mendapat 91% undian suka daripada 257 orang juri undian yang terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah dari seluruh negara. Reka bentuk permainan yang menarik, mesra pengguna, dan sarat dengan mesej pemuliharaan menjadikannya antara yang paling diminati dalam pertandingan tersebut.
Lebih penting selain pencapaian ini, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), YBhg. Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain berkata, beliau menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada lebih 30 orang pelajar UMT yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam penganjuran program ini.
“Dari pengendalian logistik, komunikasi antara budaya dengan Kedutaan Perancis hingga ke penyelarasan teknikal dan operasi acara. Pelajar ini telah memperlihatkan tahap profesionalisme dan kematangan yang tinggi”. Ujarnya.
Penglibatan ini telah menyuburkan elemen gagasan Mahasiswa IDAMAN dalam melahirkan pelajar yang intelektual melalui kreativiti dan inovasi, darmabakti dalam menyumbang kepada kelestarian sejagat, cakna terhadap isu alam dan kesejahteraan masyarakat serta mandiri dalam mengurus program bertaraf antarabangsa.
Kejayaan ini mencerminkan aspirasi HEPA UMT dalam memacu pembangunan dan pemerkasaan mahasiswa yang cemerlang dalam akademik serta bersedia membawa perubahan bermakna kepada universiti dan masyarakat.



