







Program Building Residential Involvement, Dialogue, Growth and Empowerment (BRIDGE) Camp 2025 telah berlangsung dari 10 Ogos hingga 14 Ogos 2025 bertempat di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Thaksin University, Songkla. Program ini dirangka untuk membina rangkaian yang utuh dalam barisan kepimpinan dari pelbagai universiti, bertukar pendapat dan maklumat serta menjadi ‘role model’ dalam membentuk pemimpin muda di peringkat sekolah menengah. Berikut ialah ringkasan bagi setiap slot aktiviti yang dijalankan:
Bridge 1 – Ice Breaking
Dimulakan dengan sesi taaruf dan aktiviti ‘ice breaking’ bagi membina suasana mesra serta mengukuhkan hubungan awal antara peserta. Formula ACE (Approach, Connect and Engage) digunakan untuk membantu peserta saling mendekati, berhubung dan terlibat aktif, manakala konsep 3G (Greet, Good Vibes and Genius) diterapkan untuk memupuk sikap ramah, suasana positif dan perkongsian idea kreatif.
Aktiviti seperti ‘Circle of Love’ dan ‘Category’ dijalankan bagi menggalakkan interaksi menyeluruh, diikuti pembahagian kumpulan melalui agihan pelekat haiwan secara rawak untuk memastikan kumpulan seimbang dan pelbagai.
Modul ini juga menjadi tugasan praktikal yang akan dilaksanakan semasa lawatan sekolah nanti sebagai latihan mengendalikan sesi taaruf dan ‘ice breaking’ secara berkesan.
Bridge 2 – Modul Komunikasi
Modul 2 menfokuskan kepada kemahiran komunikasi melalui permainan Penjuru Padu. Dalam aktiviti ini, setiap kumpulan perlu membawa segelas air penuh menggunakan kertas mahjung, di mana semua ahli memegang keliling kertas tersebut bagi memastikan gelas tidak jatuh dan air tidak tumpah. Sepanjang perjalanan yang dipenuhi halangan, hanya seorang ketua yang dilantik dibenarkan memberi arahan manakala ahli lain perlu berdiam diri dan mematuhi panduan tersebut. Permainan ini diterapkan dengan elemen kenegaraan, di mana air melambangkan maruah negara, kertas mahjung sebagai cara atau saluran, ahli kumpulan sebagai rakyat, dan ketua kumpulan sebagai pemimpin, sekaligus mengajar kepentingan komunikasi yang jelas, kerjasama, dan kepercayaan antara rakyat dan pemimpin.