PROGRAM ZIARAH BINGKAS KASIH

Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Malaysia Terengganu telah menyantuni pelajar baharu sesi 2024/2025 pada 20 September 2024 bertempat di Gombak, Selangor.

Melalui inisiatif #BingkasKasih HEPA UMT, seramai 70 orang pelajar baharu telah mengisi pautan yang disediakan untuk membantu meringankan beban keluarga membiayai yuran pengajian atau pembelian barang keperluan bagi menyambung pengajian ke UMT pada 1 Oktober 2024 nanti.

Ziarah Bingkas Kasih ini telah mengunjungi rumah pertama pelajar baharu iaitu Saudari Hanisah binti Suryadi yang terletak di Kampung Changkat Batu 6, Jalan Gombak Selangor. Beliau merupakan pelajar baharu jurusan Sarjana Muda Teknologi Alam Sekitar, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kelautan (FTKK). Beliau merupakan anak kelima daripada tujuh orang adik-beradik dan merupakan daripada golongan keluarga berpendapatan rendah (B40).

Selain itu, Pengurusan UMT telah menyantuni seorang lagi pelajar baharu UMT iaitu Saudari Siti Aina Muhlisa binti Munzani yang tinggal di No. 3 Lorong Mohd Saad, Batu 7, Gombak Selangor. Beliau mengambil Jurusan Sarjana Muda Sains (Matematik Kewangan), Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM). Beliau merupakan anak ketiga daripada enam orang adik-beradik dan mempunyai seorang adik kelainan upaya. Beliau juga datang daripada golongan keluarga berpendapatan rendah (B40).

Semasa Sesi Ziarah Bingkas Kasih ini, mereka menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Pengurusan UMT dalam memberikan bantuan dan motivasi kepada mereka untuk menyambung pengajian di UMT.

Program Ziarah Bingkas Kasih ini dihadiri oleh YBrs. Profesor Ts. Dr. Mohd Zamri bin Ibrahim, Naib Canselor UMT, YBrs. Profesor Dr. Mohd Izani bin Mohd Zain, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT serta Encik Fadli bin Mamat, Ketua Pentadbiran HEPA UMT.

Terima kasih juga tidak terhingga kepada HEPA UMT yang menyediakan inisiatif #BingkasKasih kepada pelajar yang kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian ke UMT.

en_GBEN