KATA ALU-ALUAN

PROFESOR DR. MOHD IZANI MOHD ZAIN Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni)

PROFESOR DR. MOHD IZANI MOHD ZAIN
Timbalan Naib Canselor
(Hal Ehwal Pelajar dan Alumni)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Salam sejahtera, salam Malaysia MADANI, salam HEPA BINGKAS,

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi, dengan limpah rahmat dan kurnia-Nya, izinkan saya coretkan ucapan aluan selaku Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) di laman sesawang rasmi Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMT ini. Selamat datang dan terima kasih kepada pengunjung laman sesawang rasmi ini.

Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMT menerusi slogan #HEPABingkas berazam untuk menyediakan perkhidmatan yang holistik kepada pemegang taruh utama iaitu mahasiswa dan mahasiswi UMT. Sepanjang setahun saya menerajui HEPA UMT, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan. Tahun lalu, dalam perutusan saya sempena dengan 100 hari pentadbiran saya di HEPA, saya telah berkongsi ucapan saya dengan tema “Membingkas Prakarsa ke arah Pemerkasaan Mahasiswa”. Ucapan ini selari dengan agenda mantan YB Menteri Pendidikan Tinggi serta Amanat Tahun Baharu YBhg. Dato’ Naib Canselor UMT sekaligus menyokong Teras 3, iaitu Pembangunan Pelajar dalam PSUMT 2023-2027.

Sembilan prakarsa yang telah dijayakan pada tahun lalu ialah mendukung pembangunan dan pemerkasaan mahasiswa, memperkemas perkhidmatan penginapan mahasiswa, meligat ekosistem keusahawanan, mengakar budaya menzahir seni, meluncur pelayaran untuk semua, merancak sumbangan alumni untuk alma mater dan memasyarakatkan HEPA. Alhamdulillah, dengan usahasama seluruh pusat di HEPA, sembilan prakarsa ini telah dijayakan dengan sebaiknya. Syabas dan tahniah saya ucapkan.

Tahun baharu, fokus yang baharu. Pada tahun ini, HEPA berhasrat meneruskan prakarsa yang dizahirkan pada tahun lalu. Prakarsa-prakarsa ini akan menjadi panduan dalam perlaksanaan program terutama program berimpak tinggi serta penyediaan perkhidmatan yang terbaik kepada mahasiswa dan mahasiswi UMT. Dalam ucapan perutusan saya pada 7 Mac 2024 yang lalu, saya telah menzahirkan Tujuh ikhtiar sebagai kesinambungan kepada sembilan prakarsa sedia ada. Tujuh ikhtiar yang dizahirkan di bawah tema “Memugar Ikhtiar Ke Arah Kebitaraan Mahasiswa” merangkumi; menggelorakan bakat demi kebitaraan mahasiswa, mentransformasi keusahawanan dan kebolehpasaran graduan, merakyatkan ilmu untuk komuniti MADANI, mengarus perdana pendekatan berfikiran global dan bertindak lokal, menggungguli keterlihatan, pendigitalan dan kelestarian, mendekatkan yang jauh dan mengakrabkan yang dekat, dan ikhtiar yang terakhir membudayakan inovasi dan jaringan strategik.

Tujuh ikhtiar ini akan dipacu melalui 3 pendekatan iaitu ikhtiar ini digembleng merentasi pusat-pusat di HEPA yang akan mendorong semua pusat bekerjasama dan bergerak dalam satu pasukan. Kedua, pemilihan perlaksanaan dengan mekanisme yang ampuh dan profesionalisme dalam perancangan untuk mencapai matlamat penganjuran dan ketiga, tumpuan dan keutamaan penghasilan impak dan bukan sekadar output. Harapan saya agar ikhtiar-ikhtiar ini dapat diterapkan dalam perlaksanaan setiap program di HEPA selain daripada penyediaan perkhidmatan yang terbaik kepada mahasiswa-mahasiswi UMT pada tahun ini.

Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMT sentiasa berusaha menjadi sumber rujukan utama kepada mahasiswa-mahasiswi UMT. HEPA UMT sentiasa bersedia membantu dan berkhidmat untuk pelajar. Saya dan seluruh warga HEPA mendoakan agar ikhtiar ini dapat dijayakan demi melahirkan pelajar yang bitara, holistik dan sejahtera.

Sekian terima kasih.

ms_MYMS