
Raub, Pahang, 8 Oktober 2025 – Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) melalui Pusat Pembangunan dan Pemerkasaan Mahasiswa (PPPM) sekali lagi memperkukuh peranan dalam pembangunan potensi kepemimpinan pelajar melalui penganjuran Kem Kepemimpinan Mahasiswa (KEMSIS) 2025 yang telah berlangsung pada 6 hingga 8 Oktober 2025 di Kela Adventure Camp, Pahang.
Program selama tiga hari dua malam ini menghimpunkan hampir 60 pemimpin mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang terdiri daripada wakil persatuan dan kelab di bawah universiti, dengan bimbingan Pusat Pembangunan dan Pemerkasaan Mahasiswa HEPA. KEMSIS 2025 menjadi wadah latihan kepemimpinan berimpak tinggi yang menggabungkan elemen daya tahan, komunikasi, kerja berpasukan, dan kepimpinan lestari bagi melahirkan mahasiswa berketerampilan selaras dengan aspirasi Mahasiswa IDAMAN.
Sepanjang program, peserta didedahkan dengan pelbagai modul dan aktiviti dinamik yang memupuk kemahiran insaniah dan ketangkasan kepemimpinan. Hari pertama dimulakan dengan aktiviti Ice Breaking dan Debat Kilat (Mini Spontan Debat) yang mencungkil kreativiti, komunikasi berkesan serta keupayaan berhujah dan berfikir secara kritikal dalam situasi mencabar.


Hari kedua diteruskan dengan aktiviti Splash & Lead, iaitu water confident dan water trekking yang menguji keberanian serta ketangkasan peserta dalam membuat keputusan pantas. Seterusnya, Slot Khas bersama Pengarah Pusat Pembangunan dan Pemerkasaan Mahasiswa (PPPM), iaitu En. Fadli bin Mamat memberi ruang interaksi dua hala antara pengurusan dan mahasiswa bagi memperkukuh inspirasi kepemimpinan serta hala tuju pembangunan pelajar UMT. Aktiviti Dapur Rimba pula menguji kebijaksanaan dan semangat kerjasama peserta dalam menyediakan hidangan dengan sumber terhad, manakala sesi Pembentangan Tokoh Kepimpinan memberi peluang peserta menelusuri nilai dan prinsip tokoh inspirasi dunia.
Pada hari ketiga, peserta meneruskan aktiviti luar kampus melalui ‘Program Siswa Prihatin Desa Harmoni’, di mana peserta KEMSIS menanam 100 anak pokok hutan pelbagai jenis di Kampung Sia Ulu, Raub sebagai simbol komitmen terhadap kelestarian alam sekitar dan nilai tanggungjawab sosial, seiring gagasan Malaysia MADANI. Kemuncak program menyaksikan sesi Graduan Pemimpin: Dari Kampus ke Masa Depan Negara, menampilkan En. Muhammad Izuan Faiz bin Abdul Rahman, Pegawai Khas, Menteri Pertahanan, yang berkongsi pandangan mengenai cabaran dunia sebenar dan disiplin sebagai asas kejayaan seorang pemimpin muda.

Program diakhiri dengan Majlis Perasmian Penutup (KEMSIS) 2025 yang disempurnakan oleh YBhg. Profesor Dr. Mohd Izani bin Mohd Zain, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Malaysia Terengganu. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada PPPM serta semua peserta atas komitmen dan semangat tinggi yang dipamerkan. Beliau turut menegaskan bahawa mahasiswa perlu memperkukuh nilai integriti, tanggungjawab dan kepimpinan berprinsip agar terus menjadi ejen perubahan kepada masyarakat dan negara.
KEMSIS 2025 berjaya mencapai objektifnya dalam membentuk mahasiswa yang berdaya tahan, yakin diri, berfikiran kritikal dan mampu memimpin secara kolektif. Program ini bukan sekadar latihan fizikal dan mental, tetapi sebuah perjalanan pembentukan karakter dan nilai, menjadikan peserta lebih bersedia untuk memimpin komuniti kampus dan masyarakat dengan semangat “Berjiwa Lestari, Memimpin Madani.”