KUALA NERUS, 12 Julai 2023 – Sukan Orienteering mula diperluaskan secara serius melalui usaha memberikan pemahaman yang sebenar terhadap ilmu dan peraturan pertandingannya. Persatuan Sukan Orienteering Negeri Terengganu (PSOT) melalui bantuan peruntukan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu mengambil langkah proaktif untuk memperkenalkan sukan ini secara serius, bukan sahaja kepada pelajar IPT malah akan mula diperkenalkan ke peringkat sekolah.
Antara yang diusahakan ialah memastikan peminat sukan ini diberikan pendedahan awal melalui penganjuran Kursus Asas Orienteering Tahap 1 iaitu O.1. Melalui kerjasama strategik antara PSOT, JBSNT, Pusat Sukan dan Rekreasi UMT serta Kelab Sukan Orienteering UMT, Kursus O.1 diadakan pada 11 – 12 Julai 2023 melibatkan 35 orang peserta daripada UMT, UniSZA, Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail, MAKSAK Terengganu dan juga penggiat sukan dan rekreasi. Kursus ini dikendalikan sepenuh oleh PSOT berdasarkan Modul Kursus yang disediakan oleh Akademi Orienteering Malaysia dan Persatuan Sukan Orienteering Malaysia Orienteering Meosc .
Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Sijil kepada peserta disempurnakan oleh Puan Siti Noriam Yaakob, Ketua Pusat Sukan dan Rekreasi UMT. Yang hadir, Presiden PSOT, Syed Mohd Yasni Syed Yassin, turut menjadi Jurulatih mengendalikan Kursus tersebut.




