Majlis Citra HEPA Bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni)
Disediakan Oleh: Shahril Shah Mohammad
08 April 2021: Majlis Citra HEPA bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) telah berlangsung dengan jayanya bertempat di Auditorium Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah (PSNZ), Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Penganjuran majlis yang bersejarah ini adalah merupakan salah satu cara terbaik bagi mengeratkan hubungan perpaduan dan silaturahim dalam kalangan staf di jabatan berkenaan. Pengisian utama dalam penganjuran majlis tersebut adalah sesi amanat dan pembentangan pencapaian jabatan dalam mengharungi cabaran tahun 2020 dan perancangan HEPA bagi tahun 2021. Sesi ini telah disampaikan dengan sempurna oleh YBhg. Profesor Madya Dr. Hafiz bin Zakariya (TNC-HEPA), UMT.
Dalam sesi ucapan yang penuh berkeyakinan dan bersemangat, beliau telah menggariskan penerapan konsep empati, prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban, integriti dan tadbir urus yang baik dalam kalangan warga HEPA mampu membentuk asas kukuh kepada kewibawaan jabatan ini untuk terus diyakini dan sentiasa relevan. Beliau memberi saranan agar semua warganya sentiasa berpegang kepada nilai integriti dan etika kerja yang tinggi bagi merealisasikan agenda pembangunan pelajar di universiti. Pencapaian dan kecemerlangan jabatan ini perlu dipacu secara berterusan ke arah mencapai matlamat Pelan Strategik UMT (PSUMT) sebagaimana yang telah ditetapkan.
Bagi mencapai kejayaan dalam semua aktiviti yang telah dirancang, semua Pusat yang sedia ada disaran untuk bekerjasama dengan lebih erat dalam menyediakan perkhidmatan yang cemerlang kepada para pelajar bagi membantu agenda kebajikan, pembangunan holistik, pembinaan sahsiah dan insaniah pelajar. Pengukuhan potensi diri pelajar melalui latihan, kepimpinan dan kesukarelawanan dapat menghasilkan modal insan yang dinamik, profesional dan terlatih. Penempatan pelajar yang kondusif dan selamat serta dituruti dengan keterlibatan Alumni secara berterusan merupakan pemangkin utama kepada kecemerlangan sumber manusia yang terlatih pada masa akan datang.
Pada majlis tersebut, Sijil Penghargaan telah diberikan kepada semua petugas frontliner yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menguruskan pelajar semasa wabak Covid-19 melanda negara. Selain itu, Tabung HEPA For Frontliners turut dilancarkan bagi membantu barisan hadapan yang sedang bertugas di negeri ini dan hasil daripada sumbangan tersebut akan disalurkan kepada petugas yang terlibat melalui Klinik Kesihatan Seberang Takir, Kuala Nerus. Pada akhir majlis berkenaan YBhg. TNC-HEPA menyeru kepada seluruh warganya supaya dapat berganding bahu dan sentiasa memberi komitmen yang tinggi bagi melonjakkan kejayaan dan prestasi HEPA ke tahap yang lebih cemerlang. Sambutan dan penganjuran majlis seumpama ini perlu diteruskan pada masa akan datang demi lencana UMT di dada.




