“Podcast JIWA SISWA Tingkatkan Komunikasi Dan Pengucapan Awam Mahasiswa”

Kuala Nerus, 10 Ogos 2025 – Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry bin Abd Kadir telah menyempurnakan peluncuran Podcast Jiwa Siswa di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bersempena Program Semarak Kampus Madani, Terengganu. Istimewanya, YB Menteri bukan sahaja merasmikan peluncuran ini malah turut tampil sebagai panel jemputan untuk episod sulung bertemakan “Jiwa Siswa, Jiwa Merdeka”, bersama dua hos iaitu Muhammad Zaki bin Anuar (Setiausaha Agung Majlis Perwakilan Pelajar UMT) dan Muhammad Afiq Naqiuddin bin Mohd Afizal (Exco Kesukarelawanan & Kepimpinan MPP UMT).

Podcast ini dibawakan oleh Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM) dengan kerjasama semua Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dan pelbagai rakan strategik. Tahun ini, UMT selaku pengerusi baharu MADUM menampilkan inisiatif segar bagi memperkasakan kemahiran pengucapan awam mahasiswa melalui penganjuran Podcast Jiwa Siswa. Inisiatif ini diadakan dengan kerjasama Yayasan Perkasa Siswa (YPS), membawa format perbualan santai tetapi sarat dengan pengisian ilmiah, isu semasa dan pandangan mahasiswa.

Menurut Saudara Zaki, pemerkasaan kemahiran pengucapan awam dalam kalangan mahasiswa yang digagaskan oleh YB Menteri Pendidikan Tinggi merupakan keperluan penting untuk memastikan mereka kekal relevan dalam dunia yang penuh persaingan. Sementara itu, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry menegaskan bahawa Podcast Jiwa Siswa adalah sebuah platform strategik untuk mahasiswa mengasah bakat, memperkukuh keyakinan diri serta berani menyuarakan pandangan secara matang. Beliau optimis bahawa inisiatif ini mampu melahirkan graduan yang seimbang dari segi pencapaian akademik dan pembentukan sahsiah.

Inisiatif ini seiring dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi untuk melahirkan graduan holistik yang memiliki kemahiran insaniah, kepimpinan dan keupayaan komunikasi yang tinggi. Melalui Podcast Jiwa Siswa, suara mahasiswa dapat disalurkan secara konstruktif kepada masyarakat dan pembuat dasar, selaras dengan teras Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara yang menekankan keterlibatan pelajar dalam pembangunan komuniti serta penyelesaian isu-isu nasional.

Siri Podcast Jiwa Siswa akan diadakan di universiti awam (UA) seluruh negara. Platform ini diharap menjadi medan untuk mengasah bakat intelektual dan komunikasi, membina keyakinan diri, dan memupuk semangat Jiwa Merdeka, selari aspirasi Malaysia MADANI. Pendekatan ini dijangka memperkukuh jaringan mahasiswa antara kampus, memupuk budaya berdialog secara terbuka, dan menghubungkan komuniti akademik dengan masyarakat luas.

Platform ini diharap menjadi pemangkin kepada pembentukan generasi pelajar yang matang berfikir, lantang bersuara secara bertanggungjawab dan berupaya menyumbang kepada pembangunan negara selaras aspirasi Malaysia MADANI. Dengan sokongan penuh Kementerian Pendidikan Tinggi, Podcast Jiwa Siswa, Jiwa Merdeka bakal menjadi simbol suara mahasiswa yang progresif dan berwibawa di pentas nasional.

ms_MYMS