





Kuala Nerus, 15 November 2025 – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus memperkukuh agenda pemerkasaan keusahawanan mahasiswa melalui pelancaran Dapur Serambi Niaga, sebuah fasiliti baharu yang dibangunkan bagi meningkatkan keupayaan inovasi dan pembangunan produk mahasiswa berasaskan sumber tempatan.
Pelancaran fasiliti ini adalah satu lonjakan penting dalam usaha universiti mewujudkan ekosistem keusahawanan yang lebih menyeluruh, tersusun dan berimpak tinggi. Dapur Serambi Niaga merupakan dapur kabin yang berfokuskan penghasilan produk dan dirangka sebagai hab latihan keusahawanan praktikal yang menghubungkan aspek pembelajaran, penghasilan produk, inovasi, keselamatan makanan dan pematuhan piawaian industri. Antara produk yang dihasilkan adalah aiskrim (lulutz) madu kelulut, popia (verdeluxe) gabungan popia ayam, bayam dan kangkung serta fillet ikan Tilapia.
Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato’ Haji Adnan bin Hussain, Ketua Pengarah, Jabatan Perikanan Malaysia, bersempena Hari Terbuka Serambi Niaga 2025 yang berlangsung di Serambi Niaga, Kolej Kediaman UMT.
Menurut Dato’ Haji Adnan yang juga Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Wakil Alumni dalam ucapannya, Serambi Niaga merupakan platform keusahawanan pelajar yang berjaya menyediakan ruang pembelajaran dunia sebenar kepada mahasiswa, terutamanya dalam bidang inovasi produk tempatan. Beliau menyifatkan pelancaran Dapur Serambi Niaga sebagai satu langkah penting dalam memperkukuh keseluruhan ekosistem keusahawanan di UMT.
“Penubuhan Dapur Serambi Niaga akan mempertingkatkan kemahiran pelajar dalam mengurus dan membangunkan produk inovatif berasaskan sumber marin, pertanian dan agro-makanan, selain menyokong hasrat nasional untuk memperkukuh sektor agro dan bioekonomi negara,” ujar beliau.
Sementara itu, Hari Terbuka Serambi Niaga 2025 yang diadakan sempena setahun penubuhannya turut melibatkan penyertaan agensi kerajaan seperti Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) yang hadir memberi pendedahan, khidmat nasihat serta menyertai Jualan Rahmah MADANI. Penglibatan pelbagai agensi ini menggambarkan komitmen berterusan dalam menyokong pembangunan keusahawanan mahasiswa UMT.
Fasiliti ini turut menggalakkan penglibatan agensi kerajaan, alumni dan rakan industri dalam memberi latihan, bimbingan dan pendedahan kepada pelajar. Model kerjasama ini memperkukuh lagi posisi UMT sebagai universiti yang menyokong konsep “University for Society”, iaitu universiti yang memberi impak langsung kepada komuniti setempat.
Program ini juga menampilkan pelbagai aktiviti mahasiswa termasuk demonstrasi Inovasi Sabun, Aiskrim Kelulut, program Green Chef, projek fertigasi, serta aktiviti kepimpinan hijau, kelestarian kampus seperti penghasilan baja kompos, bio racun dan Effective Microbe yang memupuk kesedaran alam sekitar di kalangan pelajar.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain, HEPA turut merakamkan penghargaan kepada para alumni yang terus komited menyokong universiti melalui sumbangan kewangan, kepakaran dan barangan dalam menjayakan Hari Terbuka Serambi Niaga 2025. Sokongan ini menjadi pemangkin kepada hubungan kukuh antara alumni dan universiti, sekali gus memperkasakan pembangunan mahasiswa secara holistik.
Seiring aspirasi Malaysia MADANI, UMT percaya bahawa kerjasama strategik antara universiti, alumni, agensi kerajaan serta komuniti setempat akan memperkukuh ekosistem pendidikan holistik, serta menjadi tunjang penting dalam membentuk generasi mahasiswa yang berdaya saing, berintegriti dan berjiwa kepimpinan.
Sinergi ini akan terus menjadi pemangkin kepada lahirnya modal insan yang cemerlang di menara gading dan juga bersedia menggalas amanah sebagai penggerak pembangunan negara, pencetus inovasi serta pemimpin masa hadapan yang membawa kesejahteraan bersama.