PROGRAM JUALAN RAHMAH MADANI @UMT RINGANKAN BEBAN KOS SARA HIDUP MAHASISWA & KOMUNITI SETEMPAT

KUALA NERUS, 15 November – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Terengganu hari ini menganjurkan Program Jualan Rahmah MADANI @ Kampus, bertempat di Halaman Serambi Niaga, Kolej Kediaman UMT. Penganjuran ini berjaya menarik kehadiran hampir 1,000 pengunjung, merangkumi mahasiswa UMT, staf universiti serta komuniti sekitar Kuala Nerus.

Program yang berlangsung dari 8.00 pagi hingga 2.00 petang itu menawarkan potongan harga 10% hingga 30% bagi pelbagai barangan keperluan asas seperti makanan, produk kebersihan diri, kelengkapan pembelajaran dan barangan harian, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam memastikan akses barangan mampu milik kepada semua lapisan masyarakat.

Sebagai universiti yang sentiasa prihatin terhadap kesejahteraan mahasiswa, UMT melihat penganjuran Jualan Rahmah MADANI @UMT sebagai satu usaha penting untuk membantu pelajar mengurus perbelanjaan harian dengan lebih berkesan. Hampir 800 mahasiswa hadir untuk mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah, sekali gus mengurangkan beban kos sara hidup terutamanya pada musim peperiksaan dan penghujung semester.

Selain warga kampus, kehadiran komuniti setempat termasuk keluarga pelajar, penduduk sekitar dan usahawan kecil membuktikan peranan UMT sebagai pusat komuniti dan rakan strategik dalam menyantuni keperluan rakyat di daerah Kuala Nerus yang rata-ratanya menyokong penuh penganjuran jualan rahmah di UMT.

Menurut S.Darveen Vellu a/l Shanmuga Vello, yang merupakan pelajar Kos Sarjana Muda Sains (Matematik Kewangan) yang menginap di Kolej Kediaman, jualan rahmah seperti ini sangat baik untuk diadakan sebagai satu inisiatif yang sangat membantu dalam mengurangkan beban kos sara hidup. “Ramai pelajar, khususnya yang tinggal di asrama atau menyewa, berdepan kekangan kewangan akibat peningkatan harga barang keperluan. Dengan adanya Jualan Rahmah, pelajar dapat membeli makanan, barangan harian, serta keperluan asas pada harga yang lebih rendah dan berpatutan” ujarnya lagi.

Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMT turut merakamkan penghargaan kepada KPDN Terengganu atas kesediaan menjadikan UMT sebagai lokasi penganjuran, sekali gus memperluas manfaat inisiatif Rahmah kepada golongan belia dan mahasiswa. UMT komited meneruskan kerjasama strategik bersama agensi kerajaan bagi menganjurkan lebih banyak program berbentuk kesejahteraan, pendidikan pengguna dan pemerkasaan komuniti.

“UMT percaya bahawa penganjuran program seperti Jualan Rahmah MADANI @UMT manifestasi komitmen berterusan universiti dalam memastikan kesejahteraan mahasiswa dan masyarakat sentiasa menjadi keutamaan” Ujar beliau. Sinergi antara universiti, kerajaan dan komuniti setempat akan terus diperkukuh bagi melahirkan mahasiswa yang cemerlang dan berdaya saing dan berjiwa kepimpinan serta prihatin terhadap keperluan masyarakat.

ms_MYMS