
Kuala Nerus – 1 Jun 2025, Pusat Pembangunan dan Pemerkasaan Mahasiswa (PPPM), dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama Pertubuhan Jejak Jalanan (NGO) telah menganjurkan Program Santuni Insan, Anak Harapan MADANI 2025 melibatkan 25 orang anak- anak gelandangan dari Lembah Klang yang dibawa khas ke kampus UMT.
Program yang berlangsung dari 29 Mei hingga 1 Jun 2025 ini merupakan satu inisiatif inklusif yang memberi peluang kepada mereka untuk merasai sendiri suasana kehidupan universiti, di samping menyemai aspirasi dan semangat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Inisiatif ini selari dengan nilai teras Malaysia MADANI yang menekankan aspek keprihatinan, insaniah dan pembinaan masa depan bersama.

Antara pengisian utama program ialah slot Kehidupan Kampus: UMT Destinasi Pilihan pada 30 Mei 2025 yang berlangsung di Dewan Al-Irfan, Kolej Kediaman UMT. Ia dimulakan dengan sesi Kenali Diri dan Sahabat oleh Puan Nur Fadhilah binti Malek (PKKM) yang bertujuan membina keyakinan diri dan emosi positif dalam kalangan peserta. Seterusnya, melalui Slot Kenali UMT Bersama Majlis Perwakilan Pelajar, anak-anak harapan MADANI ini telah didedahkan dengan kehidupan kampus bagi menyuntik semangat kepada mereka untuk turut bersama-sama berusaha menjejakkan kaki ke menara gading.
Turut diadakan, Slot Selangkah ke Universiti oleh PASTEM bagi memberi pendedahan awal tentang laluan akademik selepas SPM, manakala sesi Destinasi Ilmu: Jom ke UMT oleh Ts. Dr. Illy Amalina binti Ahmad Sabri dari Pejabat Komunikasi Korporat memperluas horizon peserta tentang pelbagai fakulti dan peluang kerjaya yang ditawarkan UMT.
Program ini dilengkapi dengan sesi bertajuk Harmoni Pantai dan Laut: Menjalin Hubungan dengan Alam Marin. Sesi lawatan ke Hatcheri Akuatrop UMT dikendalikan oleh Encik Mohd Iffa Rezuan bin Rusdi (Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan) membuka minda peserta tentang dunia akuakultur, teknologi penternakan ikan dan penyelidikan marin.
Slot Istana Pasir: Kreativiti di Pantai yang dikendalikan oleh Cik Noor Najmiah binti Ali dan En. Mohamad Daniel Haiqal bin Mohamad Omar (PKKM) pula menyemai semangat kerjasama dan ekspresi kreatif dalam suasana ceria di pesisir pantai kampus.
Turut memeriahkan program ialah sesi Pelita Jiwa, Podcast Santai Tapi Sampai: Dari Gelandangan ke Universiti, dan Malam Kebudayaan yang menjadi kemuncak kepada keseluruhan program. Majlis Penutup Rasmi telah disempurnakan oleh YBhg. Profesor Dr. Mohd Izani bin Mohd Zain, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UMT.

Program ini merupakan aspirasi Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMT dalam melahirkan Mahasiswa Idaman yang berjiwa Intelektual, kaya dengan semangat Darmabakti, Mandiri, dan mempunyai nilai Insaniah yang tinggi dalam memimpin perubahan komuniti. Penglibatan aktif mahasiswa sebagai fasilitator memperlihatkan kematangan dan komitmen mereka sebagai agen perubahan yang menyemai empati serta kasih sayang kepada komuniti terpinggir.
Program ini bukan sahaja memberi sinar harapan kepada anak-anak yang diraikan, malah membuka ruang kepada mahasiswa untuk mempraktikkan nilai kepimpinan, kesukarelawanan dan kebertanggungjawaban sosial secara holistik. Ia menjadi platform berimpak tinggi yang menghubungkan universiti dan komuniti melalui pendidikan yang bersifat transformatif.
