
Kuala Nerus, 15 Mei 2025 – Pusat Pembangunan dan Pemerkasaan Mahasiswa (PPPM) Universiti Malaysia Terengganu telah menganjurkan Majlis Ikrar Belia Malaysia sempena Sambutan Hari Belia Negara peringkat UMT bertempat di Dewan Al-Irfan, Kolej Kediaman.
Majlis dimulakan dengan tayangan video ucapan secara atas talian Hari Belia Negara oleh Yang Berhormat Hannah Yeoh (Menteri Belia dan Sukan), Yang Berhomat Adam Adli Abdul Halim (Timbalan Menteri Belia dan Sukan) dan Yang Berbahagia Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu (Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan). Majlis diteruskan dengan dengan bacaan ikrar yang dipimpin oleh saudara Aqasha Mukris bin Zainuri, Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar UMT dan disertai oleh 120 orang pelajar yang terdiri daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Jawatankuasa Perwakilan Kolej Kediaman (JPKK), Jawatankuasa Perwakilan Luar Kampus (JPLK), wakil badan pelajar dan wakil badan uniform.

Hari Belia Negara yang disambut pada setiap 15 Mei sejak tahun 1964 kini memasuki edisi pelaksanaan ke-61 pada tahun ini. Sambutan ini merupakan inisiatif utama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dengan kerjasama pelbagai agensi, termasuklah institusi pengajian tinggi seperti UMT yang memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi belia berilmu dan berdaya saing.
Bertemakan “Yakin Boleh”, HBN 2025 menekankan nilai keyakinan diri dalam kalangan belia dalam menghadapi pelbagai cabaran masa hadapan. Sambutan HBN 2025 juga istimewa kerana ia berlangsung menjelang pelaksanaan transisi had umur belia kepada bawah 30 tahun yang akan berkuat kuasa mulai tahun 2026, seperti yang ditetapkan dalam Dasar Belia Malaysia. Langkah ini merupakan usaha menyelaras definisi belia dengan piawaian antarabangsa, selain memastikan dasar pembangunan belia lebih fokus dan relevan dengan golongan sasar. Melalui dasar ini, belia Malaysia akan lebih terarah untuk membina masa depan yang mampan, dengan sokongan pelbagai program pembangunan, latihan kemahiran, dan penglibatan aktif dalam proses membuat keputusan di pelbagai peringkat.

Menurut saudara Aqasha Mukris bin Zainuri, Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar UMT, bagi memastikan semangat “yakin boleh” diterapkan dalam kalangan MPP, beliau akan memastikan barisan MPP tidak gentar dengan cabaran yang dihadapi dan akan memastikan sumbangan dan usaha mereka mewakili suara mahasiswa UMT akan dibuat secara holistik. Beliau turut menyatakan sokongan penuh untuk memperkasakan belia Malaysia demi masa depan negara yang lebih gemilang.
