Seramai 24 orang peserta terdiri daripada penggiat sukan bola tampar pantai seluruh Malaysia termasuk warga dan alumni UMT berkumpul di Universiti Malaysia Terengganu bagi mengikuti Kursus Kepengadilan Bola Tampar Pantai Peringkat Negeri Terengganu 2023 pada 9 hingga 12 Mac 2023.
Kursus kepengadilan anjuran Pusat Sukan dan Rekreasi HEP, UMT dengan kerjasama Jawatankuasa Bola Tampar Pantai Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) Malaysia Volleyball Association ini merupakan program pembangunan sukan bola tampar pantai pertama dan juga sukan ‘niche’ UMT rentetan daripada pelantikan Encik Amalul Asyraf Rosli, Pegawai Tadbir (Sukan) sebagai Ketua Pembangunan Jawatankuasa Bola Tampar Pantai Malaysia oleh MAVA.
Kursus ini dikendalikan oleh pensyarah-pensyarah berpengalaman yang dilantik khas daripada Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) bagi menilai dan mengiktiraf peserta-peserta kursus pada kali ini.
Setelah berkampung selama 4 hari 3 malam di UMT, para peserta yang lulus dalam ujian praktikal pengadilan layak menerima sijil pengiktirafan daripada MAVA bagi membolehkan mereka untuk menjadi ‘umpire’ atau pengadil bagi kejohanan-kejohanan bola tampar pantai peringkat negeri dan juga kebangsaan.
Semoga sukan bola tampar pantai terus berkembang maju seterusnya memartabatkan kancah sukan tanair.


