Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaysia Terengganu

UMT Meterai Memorandum Persefahaman Program Siswazah Usahawan Digital Terengganu (SISDIT) bersama Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) dan Yayasan Telekom Malaysia (YTM)

Kuala Lumpur – 21 September 2023 | Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan rasminya telah menjalinkan persefahaman bersama Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) dan Yayasan Telekom Malaysia (YTM) dalam melaksanakan program Program Siswazah Usahawan Digital Terengganu (SISDIT) yang julung kalinya diwujudkan.

Menerusi jalinan persefahaman selama 5 tahun ini, para pelajar UMT terpilih bakal diiktiraf sebagai Usahawan Digital dengan bimbingan berstruktur dan strategik mengikut perkembangan digital yang dinamik oleh penyedia latihan iaitu Multimedia University (MMU).

Disaksikan oleh KDYMM Al-Wathiqu BIllah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi BIllah Shah, Sultan Terengganu selaku Pengerusi Yayasan Diraja Sultan Mizan, memorandum persefahaman ini telah ditandatangani oleh lima (5) pihak yang terlibat iaitu Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM), Yayasan Telekom Malaysia (YTM), Multimedia University (MMU), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

UMT diwakili oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar, FASc. serta Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), YBrs. Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain telah memeterai dokumen berkenaan dan majlis turut dihadiri ahli-ahli Pengurusan Utama dan Kanan UMT.

ms_MYMS