Hal Ehwal Pelajar dan Alumni | UMT

BERSAMA HULURKAN TANGAN MERINGANKAN BEBAN

12 Julai 2021 : “Hulurkan Tangan Meringankan Beban” dan juga pagar silang “Kita Jaga Kita” merupakan dua slogan yang sering digunakan pada masa kini oleh semua pihak terutama dalam kalangan media di negara ini. Slogan tersebut memberi makna yang cukup besar kepada semua rakyat Malaysia agar dapat turut bersama membantu antara satu sama lain dalam menghadapi kesan pandemik Covid-19.            

Justeru, perkara ini disambut baik oleh semua pihak dan ianya telah ditunjukkan secara zahir apabila terdapat pelbagai agensi yang turut menyalurkan sumbangan dan bantuan kepada pelajar UMT. Pihak Celcom Axiata Berhad dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), UMT telah membuat agihan sebanyak 100 pek makanan kering kepada pelajar yang berada di dalam dan luar kampus. Kesedaran terhadap pentingnya pemakanan yang sihat telah mendorong syarikat ini untuk menyediakan makanan secara percuma kepada pelajar yang terkesan disebalik musibah Covid-19.

Program dan bantuan yang diberikan ini adalah sebahagian daripada Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat tersebut dan ianya menunjukkan keprihatinan pihak berkenaan dalam membantu pelajar UMT yang kurang berkemampuan. Sumbangan ini telah disampaikan oleh wakil Celcom Axiata Berhad kepada Timbalan Naib Cancelor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan turut dihadiri oleh pegawai di kedua-dua jabatan yang berkaitan.

Sumbangan yang disalurkan ini adalah mengambil kira kekangan dan kesulitan pelajar yang tidak dapat pulang ke kampung halaman masing-masing akibat pandemik COVID-19 dan Pelaksanaan Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara. Secara tidak langsung sumbangan yang dihulurkan ini dapat mendidik semua warga negara untuk berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan. Selain itu, sikap keprihatinan yang tinggi oleh penyumbang dan pihak universiti dapat memastikan agar semua warga pelajar yang berada di dalam dan luar kampus sentiasa kekal sihat dan selamat.

Pihak universiti merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program ini. Jabatan ini juga sentiasa bersedia untuk memberi kerjasama dengan mana-mana agensi atau syarikat yang berhasrat untuk memberi sumbangan dan bantuan kepada pelajar UMT yang sewajarnya tidak dipinggirkan dalam situasi yang getir ini.