Hal Ehwal Pelajar dan Alumni | UMT

SUMBANGAN PERANTI : MEMBANTU NORMA BAHARU PEMBELAJARAN PELAJAR UMT

22 Jun 2021 : Pelajar di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) adalah antara golongan yang terkesan dalam proses pembelajaran disebalik musibah Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara. Para pelajar tidak dapat meneruskan pengajian mereka di Universiti dan terpaksa mengikuti pembelajaran daripada rumah secara dalam talian (online). Namun begitu, terdapat beberapa kekangan yang dihadapi oleh pelajar dari segi kemudahan peranti dan internet bagi mereka untuk melaksanakan pelbagai tugasan atas talian. Selain itu, tidak semua daripada mereka ini mampu memperolehi kemudahan asas tersebut dan ada di antara mereka yang terdiri daripada keluarga yang susah dan tidak berkemampuan.

Bagi merigankan beban para pelajar, Yayasan Tungku Abdul Rahman (YTAR) dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) telah bersetuju untuk menyalurkan sumbangan sebanyak 25 unit peranti (komputer riba) kepada pelajar yang terpilih dan berkelayakan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Selain itu, Bantuan secara sekaligus (one-off) sebanyak RM600 juga turut diberikan kepada pelajar tersebut bagi pembayaran data internet untuk tempoh masa setahun. Bayaran ini akan dikreditkan terus ke dalam akaun pelajar yang berkaitan.

Senarai penerima sumbangan ini adalah mereka yang terdiri daripada kumpulan dan golongan pelajar B40 yang sedang mengikuti pembelajaran di UMT. Bantuan yang diberikan ini diharapkan dapat membantu dan memudahkan pelajar tersebut untuk meneruskan pembelajaran secara online dengan kemudahan internet dan peranti tanpa sebarang kekangan serta kekurangan dengan beban kewangan yang dihadapi oleh diri sendiri atau keluarga masing-masing.

Spesifikasi perisian dan perkakasan peranti yang lebih mampan dari segi kebolehgunaan, jangka hayat dan sokongan jaminan yang baik diharap dapat membantu para pelajar dalam menyesuaikan diri dengan norma baharu pembelajaran secara dalam talian (online). Bantuan peranti ini akan diagihkan kepada semua penerima dengan kadar yang segera dan dibuat dengan menggunakan dua kaedah iaitu penghantaran terus kepada mereka yang berada di sekitar negeri ini dan melalui perkhidmatan pos atau kurier bagi mereka yang berada di luar negeri Terengganu.

Pengagihan peranti yang lengkap dengan akses internet kepada pelajar B40 di IPTA ini jelas menunjukkan bahawa pihak kerajaan melalui pelbagai agensi amat serius dalam memberikan fokus pembelajaran kepada para pelajar di universiti. Golongan ini tidak sesekali diabaikan dan mereka terus dibantu dalam apa jua aspek yang diperlukan. Pemberian sumbangan ini adalah bagi memastikan penyampaian pendidikan kepada anak-anak bangsa tidak terhenti meskipun negara sedang berdepan dengan pandemik Covid-19.

Disediakan Oleh: Shahril Shah Mohammad