WARGA HEPA JULANG ANUGERAH NAIB CANSELOR
02 November 2020 : Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah mengadakan Majlis Anugerah Khas Naib Canselor 2019 bertempat di Auditorium Mahyuddin, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial (FPEPS). Penganjuran majlis yang penuh bersejarah ini adalah merupakan satu anugerah penghargaan Naib Canselor kepada semua staf UMT yang telah memberi perkhidmatan cemerlang sama ada dari segi sahsiah, rohani dan jasmani sepanjang tahun 2019 yang lalu. Anugerah ini adalah meliputi pelbagai aspek dan lapisan peringkat gred serta jawatan termasuk ahli akademik dan bukan akademik.
Tidak ketinggalan dalam penerimaan penganugerahan tersebut adalah warga HEPA, UMT. Antara penerima yang telah diberi pengiktirafan di dalam majlis yang penuh gilang gemilang ini adalah En. Zainudin bin Mamat (Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar), Dr. Izan binti Dato’ Haji Jaafar (Timbalan Pengarah Pusat Pembangunan Holistik dan Kokurikulum), Ts. Dr. Nik Aziz bin Nik Ali (Pengarah Kolej Kediaman) dan En. Zolarman bin Muhamad (Penolong Pendaftar Kanan Pusat Alumni). Semoga dengan penerimaan anugerah ini ianya dapat mendorong kita semua untuk terus berkhidmat dengan lebih cemerlang dan menunujukkan komitmen secara berterusan di dalam Jabatan/Universiti. Kami seluruh warga HEPA ingin mengucapkan Syabas dan Tahniah kepada semua penerima kerana terpilih sebagai penerima Anugerah Khas Naib Canselor 2019.
Disediakan Oleh: Shahril Shah Mohammad






HEPA JUARA PERTANDINGAN PEJABAT CERIA MERDEKA SEMPENA SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN KE-63 PERINGKAT UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU TAHUN 2020
SAMBUTAN Hari Kebangsaan Ke-63 peringkat Universiti Malaysia Terengganu (UMT) tahun 2020 diserikan dengan mengadakan pelbagai program/aktiviti yang menarik dan berunsurkan patriotik. Semangat kecintaan terhadap negara secara tidak langsung dapat diserapkan kepada semua staf di Pusat Tanggungjawab melalui program-program seumpama ini. Salah satu program khas yang telah dianjurkan oleh pihak Pengurusan UMT adalah Pertandingan Pejabat Ceria Merdeka peringkat universiti.
Program seumpama ini diadakan pada setiap tahun dan ianya disambut baik oleh semua staf yang mewakili jabatan masing-masing. Pejabat Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) adalah merupakan salah satu PTj yang turut serta dalam pertandingan tersebut. Semua staf yang terlibat memberi komitmen yang tinggi dengan penuh bersemangat dan bersama-sama menghiasi ruang pejabat berkenaan. Sikap toleransi dan kerjasama ini seharusnya patut diberi pujian dan diteladani oleh rakan-rakan yang lain dalam dan luar PTj. Lazimnya dua perkara yang dilakukan dalam tempoh pertandingan tersebut iaitu menghiasi Bendera Malaysia dan mempamerkan gambar-gambar yang bersesuaian di pelbagai ruang dan sudut yang terpilih bagi menzahirkan rasa kecintaan dan keperihatian kepada negara tercinta “Malaysia”.
Pertandingan yang bersejarah ini telah diadakan bermula pada 03 September 2020 sehingga 14 September 2020. Sepanjang tempoh pertandingan ini diadakan, semua PTj yang terlibat diberi masa dan kesempatan untuk menghiasi ruang pejabat masing-masing mengikut citarasa dan kreativiti yang tersendiri secara bebas. Pada kali ini HEPA telah membina satu arca yang menjadi tanda mercu kebanggaan rakyat negeri Terengganu iaitu “Arca Drawbridge”. Pembinaan arca dan pameran-pameran lain yang ada telah menarik pihak Juri yang membuat penghakiman pada 14 September 2020 dan seterusnya Pejabat HEPA telah dinobatkan sebagai JUARA PERTANDINGAN PEJABAT CERIA TAHUN 2020 peringkat UMT.
Syukur Alhamdulillah. Tahniah kepada semua warga HEPA di atas sokongan dan kerjasama yang tinggi dan jabatan ini akan terus menyertai pertandingan seperti ini sebagai satu cara untuk warganya menghargai dan menghayati erti kemerdekaan Negara melalui unsur-unsur keceriaan sepanjang bulan kebangsaan tersebut. Selain itu, kerjasama yang ditunjukkan begitu menyumbang kepada kelancaran dan kejayaan program yang sekaligus bermatlamatkan pengukuhan semangat kebangsaan dalam diri dan jiwa semua staf.
Disediakan oleh: Shahril Shah Mohammad
