Kejohanan Royal Langkawi International Regatta (RLIR) 2025

Pusat Latihan Pelayaran, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menghantar penyertaan ke Kejohanan Royal Langkawi International Regatta (RLIR) 2025 yang berlangsung dari 20 hingga 25 Januari 2025 di Pulau Langkawi, Kedah. Kejohanan ini menyaksikan penyertaan empat pelajar UMT, iaitu Nurul Izzryn Nor Hassan, 22, Amirul Hafeez Mohamed Masarik, 20, Arfan Sulaiman Abu Bakar, 20, dan K. Viisnuu, 20, dari pelbagai jurusan yang bersemangat untuk bertanding dalam kelas IRC 2. Mereka menggunakan bot Telaga Sail99 – UMT Racing Team yang dikemudi oleh Ku Anas Ku Zamil, bekas atlet pelayaran kebangsaan dari tahun 2001 hingga 2015 yang kini bertugas sebagai jurulatih di UMT. Pasukan ini turut dibantu oleh jurulatih UMT, Nor Naeilah Nor Hassan.

Walaupun hanya sempat menjalani latihan selama tiga minggu sebelum kejohanan, empat pelajar tersebut tetap bersemangat untuk bertanding. Tempoh latihan yang singkat menjadi cabaran utama, namun mereka gigih mempraktikkan ilmu asas pelayaran yang dipelajari di universiti. Kesukaran tetap wujud kerana mereka menggunakan bot yang berbeza semasa latihan berbanding dalam kejohanan sebenar. Keserasian diri memerlukan masa, dan mereka juga melakukan kesilapan semasa latihan. Namun, mereka belajar untuk tidak mengulanginya bagi memastikan kelancaran pelayaran di laut.

Sesi latihan di kawasan air tenang sangat berbeza dengan perlumbaan sebenar, terutama dalam menghadapi keadaan laut terbuka dengan angin dan ombak yang lebih mencabar. Tambahan pula, ini merupakan kali pertama mereka bertanding dalam kelas IRC 2, berbanding kelas Sportboats sebelum ini. Perubahan ini menuntut mereka menyesuaikan diri dengan saiz bot yang lebih besar serta menghadapi cabaran angin yang kuat melebihi 10 knot dan ombak tinggi, selain mengendalikan bot baharu.

Walaupun berdepan cabaran besar, kejohanan ini memberi peluang berharga kepada pelajar UMT untuk menimba pengalaman dan ilmu daripada pelayar senior yang lebih berpengalaman, sekali gus memperkukuhkan kemahiran mereka dalam dunia pelayaran.

Menariknya tahun ini, pasukan UMT telah mendapat tajaan bot dan yuran kejohanan daripada Telaga Harbour. Selain itu, seramai 15 orang pelajar UMT juga dijemput sebagai tenaga teknikal semasa kejohanan. Ini merupakan tahun keempat UMT dijemput sebagai tenaga teknikal dalam kejohanan ini, membuktikan kepercayaan penganjur terhadap kepakaran dan kebolehan pelajar UMT dalam bidang pelayaran.

en_GBEN