Kuala Nerus, 25 April 2025 – Persidangan Kongres Rundingan Mahasiswa (KORUM) Bil. 1 Sesi 2024/2025, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah berjaya dilangsungkan pada 24 dan 25 April 2025 bertempat di Dewan Senat UMT. Majlis anjuran Pusat Pembangunan dan Pemerkasaan Mahasiswa melalui jawatankuasa KORUM ini menghimpunkan seramai 81 orang ahli KORUM yang terdiri daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Jawatankuasa Perwakilan Kolej Kediaman (JPKK), Jawatankuasa Perwakilan Luar Kampus (JPLK), serta wakil-wakil badan pelajar, disertai oleh pemerhati, urus setia dan fasilitator daripada kalangan mahasiswa dan pegawai PPPM.
Majlis perasmian KORUM telah disempurnakan oleh YBhg. Profesor Dr. Mohd Izani bin Mohd Zain, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni). Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan bahawa KORUM adalah platform yang berfungsi sebagai medan latihan sebenar kepada mahasiswa dalam mendukung amalan Demokrasi Berparlimen serta mengetengahkan prinsip “Semak dan Imbang” di peringkat universiti.
KORUM juga membudayakan konsep deliberative democracy, iaitu demokrasi perundingan yang mengutamakan perbincangan matang dalam proses membuat keputusan. Di samping itu, platform ini menjunjung kebebasan bersuara mahasiswa sebagaimana yang dijamin di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), lantas memperkukuh hak mahasiswa untuk berpolitik secara bertanggungjawab.
Seiring dengan itu, persidangan ini juga berperanan memenuhi hasrat besar dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) iaitu untuk melahirkan mahasiswa yang seimbang dan harmonis dari aspek intelek, emosi, rohani dan jasmani. Dalam konteks UMT, KORUM turut dilihat sebagai landasan strategik untuk merealisasikan gagasan Mahasiswa Idaman, yakni membina mahasiswa yang kritis, berdaya saing dan mampu menjana intelektualisme demi manfaat komuniti kampus dan negara.

Sebagaimana ditekankan dalam ucapan perasmian, semua usul yang dibahaskan tidak berakhir setakat di dalam dewan ini sahaja. Usul-usul berkenaan akan dibawa untuk perhatian dan tindakan lanjut di peringkat Mesyuarat Pengurusan Universiti (MPU), dan yang layak akan diangkat menjadi sebahagian daripada dasar atau inisiatif rasmi universiti.
Kesimpulannya, KORUM Bil. 1 Sesi 2024/2025 berjaya memperkasakan suara mahasiswa dan memperteguh amalan demokrasi, menjana pemikiran kritis, dan mempersiapkan mahasiswa untuk menjadi pemimpin masa depan yang berprinsip, berilmu dan berwibawa.