KEM BINA BAKAT SISWA SIRI 2: DIPIMPIN UNTUK MEMIMPIN

Kuala Nerus, 21 Jun 2025, – Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) melalui Pusat Pembangunan dan Pemerkasaan Mahasiswa (PPPM) sekali lagi memperkukuh komitmen dalam membina kapasiti kepimpinan pelajar melalui penganjuran Kem Bina Bakat Siswa (BAKAT) Siri 2 Tahun 2025 yang telah berlangsung pada 15 – 16 & 19 hingga 21 Jun 2025, merangkumi pelaksanaan di kampus UMT dan Stesen Penyelidikan Alami Biodiversiti (SPAB), Kenyir.

Program ini disertai oleh seramai 140 mahasiswa tahun pertama yang terpilih daripada pelbagai persatuan dan kelab, serta dibimbing oleh fasilitator berpengalaman terdiri daripada mahasiswa dan alumni Bakat serta staf PPPM. BAKAT Siri 2 dirangka khusus untuk menyemai nilai kepimpinan, sahsiah, komunikasi, keusahawanan, serta penglibatan masyarakat berasaskan semangat mahasiswa IDAMAN.

Selama lima hari, peserta telah melalui pelbagai modul berimpak tinggi termasuk sesi Ice Breaking, FasiTalk: Bimbing, Bangkit, Berjaya, dan Taklimat Keusahawanan “Jutawan Sehari”. Pengisian turut disemarakkan dengan perkongsian khas daripada Dr. Siti Norbakyah binti Jabar, mantan MPP UMT sesi 2011/2012, serta sesi Mahasiswa Perintis Aspirasi IDAMAN bersama barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2024/2025.

Program pada 19 Jun 2025 diserikan lagi dengan Majlis Perasmian Kem Bina Bakat Siswa (BAKAT) Siri 2, yang telah disempurnakan oleh YBrs. En. Fadli bin Mamat, Pengarah Pusat Pembangunan dan Pemerkasaan Mahasiswa. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa program BAKAT ini sejajar dengan aspirasi Universiti Malaysia Terengganu untuk melahirkan graduan holistik, bercirikan kepimpinan, berketerampilan serta berjiwa besar. “Kepimpinan bukan hanya tentang memimpin orang lain, tetapi juga memimpin diri sendiri, inilah asas kepada tema ‘Dipimpin Untuk Memimpin’. Mahasiswa harus sedar bahawa perubahan bermula dari dalam, dan program seperti BAKAT ini adalah ruang latihan terbaik untuk mencabar potensi diri dan menanam iltizam kepimpinan yang sebenar,” ujar beliau.

Pada malam yang sama, peserta turut menjayakan Malam Senandika Siswa IDAMAN, iaitu pentas ekspresi kreatif pelajar melalui nyanyian dan persembahan budaya. Acara ini lebih bermakna dengan penglibatan lima kelab kebudayaan utama UMT iaitu PERSAS, KEMASIS, Voice of Harmony (VOH), Persada Tari dan Atma Kirana, yang bergabung tenaga bersama peserta bagi menghasilkan persembahan penuh nilai dan semangat kebersamaan.

Program diteruskan di Stesen Penyelidikan Alami Biodiversiti (SPAB), Kenyir pada 20 dan 21 Jun dengan pengisian lapangan seperti “Dari Belantara ke Pinggan”, Simfoni Alam, Kenyir Splash: Rise with the Lake, serta Pembentangan Hasil Dapatan Keusahawanan. Peserta juga menyertai aktiviti kemasyarakatan di Kampung Pasir Dula, menyumbang bakti dalam bentuk gotong-royong dan interaksi sosial bersama komuniti setempat.

Kem ini menjadi platform komprehensif yang menggabungkan elemen pembelajaran tidak formal, latihan kepimpinan dan aktiviti luar yang membina jati diri, semangat berpasukan dan kesedaran sivik dalam kalangan peserta.

Penganjuran Kem BAKAT Siri 2 ini mendapat sokongan penuh daripada pelbagai pusat tanggungjawab HEPA UMT termasuk Pusat Kaunseling dan Kesejahteraan Mahasiswa (PKKM), Pusat Kebudayaan dan Kesenian (PBS), Pusat Sukan dan Rekreasi (PSR) serta Yayasan Perkasa Siswa (YPS) KPT. HEPA UMT menyasarkan agar setiap peserta kem ini akan membawa pulang bukan sekadar pengalaman, tetapi iltizam untuk terus menyumbang secara aktif dan positif kepada universiti dan masyarakat, selaras dengan matlamat universiti untuk melahirkan graduan holistik dan berjiwa MADANI.

en_GBEN