Oleh : Amalul Asyraf Rosli
Bahagian Sukan dan Rekreasi , PPHK, HEPA
UMT, Kuala Nerus : Hasil rapport dan jaringan kerja yang baik bersama pemain-pemain utama industri sukan negara, Bahagian Sukan dan Rekreasi (BSR), Pusat Pembangunan Holistik dan Kokurikulum , HEPA telah menjadikan UMT sebagai IPT yang pertama berjaya menyambar bintang-bintang skuad bola sepak negara masa kini bagi menjayakan Webinar Sukan UMT Siri I, 2021 yang bertajuk GOL : SATU MATLAMAT. Bintang-bintang tersebut adalah Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak (Johor Darul Ta’zim FC), Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak (Negeri Sembilan FC), Mahalli Jasuli (Petaling Jaya FC) dan Mohd Nafuzi Mahammad Zain (Terengganu FC).
Kesemua panel jemputan khas ini sudah tidak asing lagi di dalam kancah sukan negara terutama sukan bola sepak kerana mereka sering menghiasi dada media cetak, media elektronik mahupun iklan komersial setelah mencetuskan fenomena sejak Piala Dunia Remaja 1997 di Kuala Lumpur sehinggalah zaman kegemilangan skuad Harimau Malaya menamatkan kemarau 20 tahun pingat emas Sukan Sea 2009 di Vientiane, Laos dan menjadi juara untuk pertama kalinya pada AFF Suzuki Cup 2010 di Jakarta, Indonesia.
Webinar yang telah disiarkan secara langsung melalui aplikasi Facebook ini mendapat sambutan yang menggalakkan dari seluruh pelusuk tanah air. Pelbagai topik yang telah dikupaskan dan dikongsikan bersama untuk warga UMT antaranya mengenai kecergasan, kepimpinan dalam pasukan,psikologi sukan ketika kejohanan, kejurulatihan dan faktor konsistensi atlet yang dipraktikkan sepanjang tempoh pandemik Covid-19 serta pengalaman-pengalaman kehidupan mereka sehingga mengecap kejayaan ke hari ini.
“Tanggungjawab yang diamanahkan merupakan suatu elemen yang besar untuk dipikul oleh semua orang dan untuk pelajar-pelajar UMT, tiada jalan mudah untuk kita mencapai sesuatu kejayaan melainkan kita korbankan masa dan tenaga untuk mencapai matlamat masing-masing” ujar Aidil dan Zaquan yang juga merupakan kapten pasukan skuad Harimau Malaya.
Program berimpak tinggi ini merupakan salah satu usaha BSR menyokong penuh Pelan Strategik UMT 2018-2022 yang secara khususnya mencakupi Teras 1 : Pemerkasaan Bakat , Teras 3 : Pembangunan Pelajar dan Teras 8 : Pemantapan Citra.