GARIS PANDUAN PAKAIAN DAN RAMBUT
Semua pelajar UMT dikehendaki untuk berpakaian sesuai dengan amalan biasa masyarakat Malaysia dan sebagai bakal ilmuan serta pemikir negara pada masa hadapan, para pelajar seharusnya sentiasa mengamalkan pemakaian yang bersih, kemas dan sopan sepanjang berada di kampus. Berikut adalah Garis Panduan Pemakaian Pelajar yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa Universiti Malaysia Terengganu apabila kesemua pelajar telah diberikan kebenaran untuk hadir dan berada di kampus UMT:
PERATURAN AM
Setiap Pelajar
-
Hendaklah membawa dan memakai kad matrik sepanjang berada di dalam kampus kecuali semasa menghadiri atau menjalani aktiviti sukan;
-
Hendaklah berpakaian kemas, bersih, sopan, tidak ketat, tidak jarang, tidak menjolok mata dan sesuai dengan amalan dan norma keperibadian masyarakat Malaysia;
-
Dilarang memakai pakaian atau aksesori yang melambangkan mana-mana pertubuhan atau kumpulan tertentu yang boleh menimbulkan ketidakharmonian atau ketidaksentosaan kepada mana-mana orang di dalam kampus;
-
Dilarang memakai pakaian yang mempamerkan apa-apa bentuk atau unsur yang bertentangan dengan moral dan tatasusila atau mengandungi reka bentuk perkataan atau frasa yang tidak selari dengan nilai atau norma keperibadian masyarakat Malaysia;
-
Tertakluk kepada syarat-syarat pemakaian yang ditetapkan oleh fakulti atau pejabat atau mana-mana tempat di dalam kampus yang mempunyai peraturannya yang tersendiri;
-
Pelajar lelaki tidak boleh berpakaian yang menyerupai seorang perempuan dan pelajar perempuan tidak boleh berpakaian yang menyerupai seorang lelaki.
Menghadiri majlis rasmi atau urusan rasmi Universiti
-
Hendaklah berpakaian yang bersesuaian sebagai seorang pelajar UMT dengan menunjukkan kekemasan, kerapian dan kesopanan mengikut etika pakaian yang telah ditetapkan oleh penganjur dan tidak melanggar peraturan Universiti;
-
Walau apa pun etika pakaian yang telah ditetapkan oleh penganjur, Pelajar tidak dibenarkan memakai pakaian yang mendedahkan tubuh badan (mana-mana anggota dari dada hingga ke lulut);
-
Bagi mengelak sebarang keraguan, pelajar adalah dilarang berpakaian antara lainnya sepertimana berikut:
-
i. pemakaian jeans;
-
ii. berskirt di atas paras lutut, jarang dan terbelah;
-
iii. berseluar pendek di atas paras lutut;
-
iv. berbaju ketat dan tanpa lengan bagi pelajar perempuan;
-
v. legging tanpa seluar tambahan di luar;
-
vi. pakaian yang berunsurkan sensitiviti dan boleh menimbulkan sebarang provokasi terhadap agama, bangsa, kaum dan negara;atau
-
vii. pakaian yang menyerupai jantina yang berlainan.
Peraturan pakaian semasa menghadiri kuliah/ peperiksaan
-
Semasa menghadiri kuliah, pelajar dikehendaki berpakaian kemas, sopan dan tidak melanggar peraturan Universiti.
-
Bagi mengelak sebarang keraguan, pelajar adalah dilarang memakai purdah, niqab atau apa jua pakaian yang menutup muka semasa peperiksaan atau penilaian akademik dijalankan.
Peraturan pakaian semasa menghadiri aktiviti makmal, sukan, kebudayaan atau aktiviti lain pelajar
-
Mematuhi etika pakaian dan peraturan yang ditetapkan dalam mengikuti dan melaksanakan aktiviti tersebut;
-
Bagi pelajar yang terlibat dengan aktiviti makmal, etika pakaian adalah tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan oleh makmal berkenaan;
-
Bagi pelajar yang terlibat dengan aktiviti sukan di kawasan Pusat Sukan dan Rekreasi, UMT, berikut merupakan larangan berpakaian yang hendaklah dipatuhi;
-
i. legging tanpa seluar tambahan;
-
ii. berseluar pendek di atas paras lutut tanpa seluar tight-fit;atau
-
iii. berselipar.
-
Seluar pendek dan baju tanpa lengan hanya dibenarkan dipakai semasa melakukan aktiviti sukan dan sekitar gelanggang sukan sahaja;
-
Pakaian renang hanya dibenarkan dipakai semasa melakukan aktiviti renang dan ketika berada di dalam kawasan kolam renang sahaja.
Peraturan pakaian khusus untuk pelajar lelaki dan perempuan
Seorang pelajar lelaki;
-
Dilarang memakai t-shirt tanpa kolar dan baju tanpa lengan semasa melakukan urusan rasmi Universiti;
-
Digalakkan memakai pakaian ko-kurikulum atau beruniform atau korporat pada setiap hari Rabu. Pelajar yang terlibat dengan aktiviti ko-kurikulum dan aktiviti badan beruniform adalah tertakluk kepada arahan yang ditetapkan oleh badan pelajar,kelab atau persatuan berkenaan;
-
Hendaklah memakai kasut yang bertutup dan berstoking. Selipar dan sandal dilarang sama sekali semasa menghadiri kuliah, ujian, peperiksaan akhir,perpustakaan dan ketika berurusan rasmi Universiti;
-
Dilarang membuat atau mempamerkan tatoo di mana-mana bahagian anggota badan;
-
Dilarang membuat atau mempamerkan tatoo di mana-mana bahagian anggota badan;
-
Sekiranya berjambang atau berjanggut hendaklah memastikan jambang dan janggut tersebut sentiasa dijaga dengan kemas dan rapi.
Seorang pelajar perempuan;
-
Digalakkan memakai baju kurung pada setiap hari. Bagi pelajar yang terlibat dengan aktiviti makmal, etika pakaian adalah tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan oleh makmal berkenaan;
-
Digalakkan memakai pakaian ko-kurikulum atau beruniform atau korporat pada setiap hari Rabu. Pelajar yang terlibat dengan aktiviti ko-kurikulum dan aktiviti badan beruniform adalah tertakluk kepada arahan yang ditetapkan oleh badan pelajar,kelab atau persatuan berkenaan;
-
Hendaklah memakai pakaian yang bersesuaian dengan aktiviti yang dijalankan dan memastikan pakaian yang dipakai tersebut adalah sopan, kemas, tidak ketat, tidak jarang dan tidak menjolok mata serta mendedahkan sebahagian dari tubuh, bahagian dada atau bahagian belakang;
-
Sekiranya memakai kain atau skirt hendaklah dipastikan kain atau skirt tersebut melepasi buku lali. Pemakaian skirt mini, atau skirt yang berbelah dan ketat adalah dilarang sama sekali;
-
Dilarang memakai seluar yang ketat, londeh, singkat dan hendaklah panjang sehingga melepasi buku lali;
-
Dilarang memakai pakaian yang menutup muka/nikab/purdah;
-
Dilarang menindik lebih dari satu tindikan di telinga;
-
Dilarang mewarna kuku;
-
Hendaklah memakai kasut yang bertutup. Selipar dan sandal dilarang sama sekali semasa menghadiri kuliah, ujian, peperiksaan akhir, perpustakaan dan berurusan rasmi Universiti.
Rambut semasa menghadiri kuliah
-
Bagi pelajar lelaki, menyimpan rambut panjang dan berekor di hadapan atau di belakang. Rambut hendaklah tidak mencecah kolar baju;
-
Berfesyen rambut keterlaluan bagi pelajar lelaki (gaya rambut bercorak sebahagian/ qaza’) dan perempuan adalah dilarang;
-
Mewarnakan rambut yang keterlaluan bagi pelajar lelaki dan perempuan;
Penguatkuasaan
Semua staf UMT adalah pihak penguatkuasa kepada peraturan ini dan boleh membuat teguran secara terus kepada mana-mana pelajar atau melaksanakan tindakan sebagaimana yang diperuntukkan di dalam peraturan ini.
Pengawal Keselamatan Universiti hendaklah;
-
Mengambil tindakan awal dengan menghalang pelajar daripada memasuki atau meninggalkan kawasan kampus dan menyoal selidik pelajar yang didapati melanggar mana-mana peruntukan dalam peraturan ini;
-
Melaporkan kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang jika didapati mana-mana pelajar telah melanggar peraturan ini;
-
Memanjangkan laporan jika didapati mana-mana pelajar telah melanggar peraturan ini kepada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni).
Pegawai-pegawai di Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) boleh menasihati atau memberi kaunseling kepada pelajar yang telah didapati melanggar mana-mana peraturan-peraturan ini.
Pelanggaran peraturan
-
Mana-mana pelajar yang tidak mematuhi peraturan ini boleh dihalang daripada memasuki atau berurusan di kelas atau makmal atau pejabat yang berkenaan.
-
Mana-mana pelajar yang melanggar mana-mana peruntukan peraturan ini boleh dikenakan hukuman tatatertib terus iaitu diberi amaran atau denda tidak lebih daripada satu ratus ringgit (RM100.00) berdasarkan ketetapan yang telah ditetapkan dalam Peraturan 28 Kaedah-kaedah Universiti Malaysia Terengganu (Tatatertib Pelajar-pelajar 2009).
-
Setiap kesalahan yang dilakukan di bawah peraturan ini akan direkodkan dalam fail peribadi pelajar dalam Sistem Maklumat Pelajar.
Pengecualian
Peraturan pakaian selain daripada yang dinyatakan di dalam peraturan ini hendaklah mendapat kebenaran khas daripada Naib Canselor.
Peraturan Universiti Malaysia Terengganu (Etika Pakaian Pelajar) 2024
PANDUAN UMUM
Kediaman Pelajar
-
Beberapa Blok Kolej Kediaman di dalam kawasan kampus UMT telah disediakan bagi menempatkan para pelajar tahun satu dan pelajar-pelajar yang memenuhi syarat dan terpilih untuk tinggal di Kolej Kediaman.
-
Sepertimana yang disebutkan di atas, semua pelajar tahun satu diwajibkan untuk tinggal di Kolej Kediaman selama dua semester kecuali bagi pelajar yang telah berkahwin dan yang mempunyai masalah kesihatan yang serius.
-
Selain daripada kemudahan tempat tinggal di Kolej Kediaman, para pelajar UMT terutama pelajar tahun dua dan ke atas yang tidak terpilih untuk tinggal di Kolej Kediaman mempunyai banyak pilihan rumah-rumah sewa bagi penginapan mereka di sekitar kampus dengan kadar sewa yang berpatutan.
-
Makanan boleh diperolehi dari kafetaria dalam kampus, restoran atau gerai makan yang berdekatan.
Kaunseling dan Kerjaya
-
Unit Kaunseling di PPHKP bersedia membantu pelajar untuk mencapai prestasi akademik dan pembentukan peribadi serta kerjaya yang cemerlang melalui proses mengenal diri serta menggunakan potensi yang ada ke tahap yang maksimum. Pelajar digalakkan menemui kaunselor untuk berbincang mengenai diri, rancangan serta masalah mengenai pendidikan, akademik, sosial, peribadi, emosi dan mental. Kaunselor juga boleh membantu pelajar mendapatkan maklumat tentang kerjaya dan perancangan masa depan mereka.
Perpustakaan
-
Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah (PSNZ) UMT terletak berhampiran dengan fakulti, pusat pembelajaran dan pusat pentadbiran. Kedudukannya ini memudahkan para pelajar mengunjunginya.
-
Bangunan PSNZ sekarang boleh menampung seramai 2000 orang pada satu-satu masa. Ianya dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan untuk membantu dan melancarkan pembelajaran para pelajar UMT. Kemudahan ini termasuk waktu perkhidmatan yang panjang dan pelbagai jenis koleksi (bergantung kepada jenis penerbitan dan bentuk maklumat). Kemudahan sistem rangkaian internet juga disediakan untuk kemudahan pelajar.
Waktu Operasi PSNZ adalah seperti dibawah :-
Semester Kuliah
| Ahad – Rabu | 9.00 pagi hingga 11 malam |
| Khamis | 9.00 pagi hingga 4.15 petang |
| Jumaat | 3.00 Petang hingga 11.00 malam |
| Sabtu | 10.00 pagi hingga 6.00 petang |
Cuti Semester
| Ahad – Rabu | 9.00 pagi hingga 4.30 malam |
| Khamis | 9.00 pagi hingga 4.15 petang |
| Jumaat | Tutup |
| Sabtu | Tutup |
Minggu Peperiksaan
| Ahad – Rabu | 9.00 pagi hingga 12.00 malam |
| Khamis | 9.00 pagi hingga 6.00 petang |
| Jumaat | 3.00 petang hingga 12 malam |
| Sabtu | 10.00 pagi hingga 12 malam |
*Waktu perkhidmatan adalah tertakluk kepada perubahan dari semasa ke semasa.
Perkhidmatan Pusat Kesihatan Universiti
-
Pusat Kesihatan Universiti (PKU) UMT diwujudkan untuk memberikan perkhidmatan dan perawatan bagi kes-kes kecemasan dan pesakit luar untuk pelajar-pelajar di bawah Skim Perkhidmatan Kesihatan Pelajar.
-
PKU UMT beroperasi seawal 8.00 pagi sehingga 4.45 petang. Ianya dikendalikan oleh Pegawai Perubatan (Umum dan Pergigian), Pen. Pegawai Perubatan, Pembantu Perubatan dan Jururawat Terlatih.
-
Bagi kes-kes yang memerlukan rawatan khas, pesakit akan dirujuk kepada Pegawai Perubatan Kerajaan atau pakar-pakar yang berhampiran dengan kampus ini.
Berikut disenaraikan jenis-jenis perawatan dan perkhidmatan kesihatan yang dikendalikan oleh Pusat Kesihatan UMT:
- Memeriksa dan memberi rawatan yang sempurna bagi kes-kes kecemasan dan pesakit luar berdasarkan diagnosa penyakit.
- Menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan kepada pelajar, kakitangan dan orang awam.
- Menyediakan perkhidmatan pemeriksaan pergigian.
- Menilai keadaan pesakit untuk dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) atau pakar jika difikirkan perlu mendapat rawatan lanjut.
- Melakukan pembedahan kecil seperti insisi bisul, jahit luka, buka jahitan, cucian luka dan sebagainya.
- Membuat pemonitoran gula dalam darah.
- Membuat pemeriksaan air kencing (mengandung).
- Membuat pemeriksaan air kencing untuk diagnosa.
- Membuat ‘Ear mopping’ bagi telinga tersumbat.
- Pendidikan Kesihatan kepada pelajar-pelajar samada secara langsung atau tidak langsung seperti poster, pamplet dan sebagainya.
- Menganjur program derma darah dengan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) .
- Terlibat dalam aktiviti-aktiviti pelajar yang memerlukan program kesihatan seperti Kayak Merdeka, Larian Konvo Fest, program ketrampilan pelajar dan sebagainya.
- Menyediakan kemudahan peti rawatan kecemasan kepada jabatan dan persatuan pelajar yang memerlukan.
Sukan dan Rekreasi
UMT menyediakan beberapa padang dan gelanggang bagi pelbagai jenis sukan yang boleh disertai para pelajar seperti bola sepak, tenis, bola tampar, ragbi, badminton, hoki, skuba dan rekreasi air. UMT juga mempunyai kompleks sukan yang lengkap dan pelajar digalakkan membawa peralatan sukan mereka sendiri. Sekiranya anda merupakan seorang atlet dan masih terlibat secara aktif di dalam sukan berkaitan, sila hubungi Pusat Sukan Dan Rekreasi UMT.