Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaysia Terengganu

MISI BANTUAN KEMANUSIAAN DAN PEREDAAN BENCANA (HADR) 2025, GERAKKAN SUKARELAWAN MAHASISWA DI SARAWAK

Kota Samarahan, 9 September 2025 – Misi Bantuan Kemanusiaan dan Peredaan Bencana (HADR) 2025 telah berlangsung dengan penuh jayanya di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Majlis ini menjadi titik tolak kepada gerakan besar-besaran sukarelawan mahasiswa dari seluruh Universiti Awam (UA) di Malaysia dalam menjayakan misi kemanusiaan yang berlangsung dari 3 hingga 9 September 2025 di Sarawak.

Misi ini telah dirasmikan oleh YBrs. Encik Ahmad Rizal bin Adnan, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Governan dan Pembangunan), Jabatan Pendidikan Tinggi dalam Majlis Amanat dan Perasmian Misi Bantuan Kemanusiaan dan Peredaan Bencana (HADR) 2025. Dalam ucapan amanat dan perasmiannya, Encik Ahmad Rizal menegaskan bahawa kesiapsiagaan dan nilai keprihatinan harus menjadi tunjang kepada setiap gerakan kemanusiaan. “Sukarelawan mahasiswa bukan sahaja menjadi tenaga penggerak dalam misi ini, malah membawa imej universiti dan negara di mata masyarakat. Justeru, amanah ini perlu digalas dengan penuh disiplin, dedikasi, dan rasa tanggungjawab,” katanya ketika menyampaikan amanat dan perasmian.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh YBrs. Encik Hirman bin Awang, Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Perkasa Siswa (YPS), YBrs. Prof. Ir. Ts. Dr. Al-Khalid bin Hj Othman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UNIMAS, YBrs. Prof. Madya Dr. Raman bin Noordin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UMS merangkap Pengerusi MASKUM, serta YBhg. Dato’ Mohammad Shaharul bin Md Osman, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial, PDRM Bukit Aman.

Majlis turut menyaksikan simbolik kibaran bendera misi menandakan bermulanya gerak kerja rasmi misi tersebut. Ia juga menjadi lambang keyakinan dan iltizam seluruh warga sukarelawan dalam memastikan pelaksanaan misi berjalan dengan lancar. Misi ini bukan sekadar latihan lapangan, malah medan sebenar untuk mahasiswa mengaplikasikan nilai kemanusiaan, kesukarelawanan, dan kebersamaan dalam membantu komuniti yang terkesan akibat bencana.

Penganjuran HADR 2025 merupakan inisiatif Majlis Sukarelawan Universiti Awam Malaysia (MASKUM) dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan institusi berkaitan. Ia selaras dengan aspirasi pendidikan tinggi negara dalam membentuk mahasiswa idaman yang berdaya saing, prihatin, serta mampu menjadi agen perubahan dalam masyarakat.

Menariknya, Misi HADR 2025 juga disertai oleh mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu (UMT) apabila dua orang wakil pelajar UMT terpilih menyertai pasukan sukarelawan. Penyertaan ini bukan sahaja memberi peluang kepada mereka menimba pengalaman lapangan, tetapi juga membawa nama universiti dalam misi kebajikan berskala nasional. Salah seorang wakil pelajar UMT yang ditemui berkata: “Penyertaan dalam Misi HADR 2025 ini adalah pengalaman yang amat bermakna. Ia bukan sekadar medan untuk berbakti kepada masyarakat, tetapi juga peluang untuk kami belajar tentang erti tanggungjawab, kerjasama dan kesabaran dalam menghadapi cabaran sebenar di lapangan,” ujarnya penuh semangat.

Misi kali ini sangat memberi impak besar kepada komuniti setempat melalui pelbagai aktiviti berbentuk pembangunan insan dan kesejahteraan masyarakat. Antara pengisian utama adalah Aktiviti Desa Bina Diri yang menekankan kerjasama komuniti, Kelas Asas Jahitan bagi memperkasa kemahiran ekonomi, Pemeriksaan Kesihatan untuk meningkatkan kesedaran penjagaan diri, Slot Motivasi dan Perkongsian Digital yang menyuntik semangat serta pendedahan ilmu teknologi semasa, serta Projek Pemasangan Lampu Solar sebagai usaha memperkenalkan teknologi tenaga lestari kepada penduduk luar bandar, sekali gus membawa sinar pencahayaan baharu kepada kampung-kampung yang sebelum ini bergelap pada waktu malam.

Selain itu, misi ini turut diserikan dengan Terapi Seni sebagai ruang ekspresi dan kesejahteraan emosi, Bengkel Membaiki Motosikal yang memberi kemahiran asas kepada belia, serta Kelas Demonstrasi Masakan Tradisional seperti Asam Pedas yang memperkenalkan khazanah warisan kulinari tempatan di samping mengeratkan hubungan antara sukarelawan dan masyarakat.

ms_MYMS