Disediakan Oleh: Shahril Shah Mohammad
04 Mei 2021: ‘FRONTLINER’ adalah merupakan pasukan yang sangat penting dalam mengekang wabak penularan pandemik Covid-19 di negara Malaysia. Menyedari besarnya pengorbanan yang telah dilakukan oleh petugas barisan hadapan (frontliner) Covid-19 di negeri Terengganu, Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) turun padang bagi menyalurkan bantuan terus kepada wira negara ini. Usaha tersebut adalah bertitik tolak dalam kepayahan yang dilalui dan sebagai menghargai jasa mereka yang sangat besar dalam menangani penularan COVID-19 khasnya di daerah Kuala Nerus, Terengganu.
Bagi menyantuni petugas tersebut pihak HEPA telah mengagihkan sebanyak 60 pek makanan sunnah berserta peralatan solat kepada semua petugas yang berkaitan. Sumbangan ini telah disampaikan oleh YBhg. Profesor Madya Dr. Hafiz bin Zakariya, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Terengganu di Stadium Tertutup Gong Badak, Terengganu. Sumbangan yang diagihkan ini adalah hasil daripada kutipan derma warga HEPA melalui Tabung HEPA For Frontliners yang telah dilancarkan bermula pada 08 April 2021 yang lalu.
Sumbangan tersebut diterima oleh wakil Frontliner Kuala Nerusiaitu Dr. Nasrullah bin Ismail, Pegawai Kesihatan Keluarga Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Nerus. Turut serta dalam majlis ini adalah Dr. Fararuziah binti Aziz (Pegawai Perubatan/Ketua Unit Data Pusat Vaksin), Dr. Nor Syafawatty binti Aluwi (Pegawai Perubatan/Ketua Pusat Vaksin), Dr. Wan Norisah binti Wan Yaakob (Pegawai Perubatan, Pusat Kesihatan Universiti) dan pegawai-pegawai UMT. Ketika majlis penyerahan sumbangan ini berlangsung, semua SOP dan langkah keselamatan seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial sentiasa dipatuhi.
Sementara itu, pihak HEPA turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Pengurusan Klinik Kesihatan Seberang Takir dan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Nerus kerana sudi menerima sumbangan dan memberi kerjasama yang erat bagi menyempurnakan majlis berkaitan. Alhamdulillah syukur kehadrat Allah SWT pada bulan Ramadhan yang mulia ini, HEPA dapat berkongsi rezeki bersama barisan hadapan yang telah banyak berkorban untuk rakyat Malaysia dalam berdepan dengan cabaran Covid-19. Sumbangan yang kecil ini diharap dapat memberi makna yang besar kepada kita semua dalam menyuntik semangat anggota dan pegawai perubatan untuk terus memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat setempat, negeri dan negara yang tercinta.
“Kami tampil memberi sumbangan ini sebagai tanda sokongan kepada usaha dan pengorbanan mereka dan kita bersyukur masih berpeluang meneruskan aktiviti harian dengan selesa di rumah bersama keluarga, sementara para petugas barisan hadapan berusaha keras serta mengorbankan keselamatan dan masa mereka demi mengekang penularan kes Covid-19,” kata YBhg. Timbalan Naib Canselor (HEPA) semasa sesi temubual bersama Frontliner. Dr. Hafiz turut menyatakan bahawa usaha murni sebegini amat penting dan dapat membawa keceriaan buat petugas barisan hadapan tanpa mengira jumlah dan nilai pemberian tersebut. Apabila terdapat agensi-agensi yang datang untuk menyantuni mereka, ia sedikit sebanyak membawa kegembiraan untuk semua petugas. Semoga sumbangan ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan mendapat keberkatan serta keredhaan daripada Allah SWT.