Disediakan Oleh: Shahril Shah Mohammad
05 Mei 2021 : Kira-kira 800 bungkus bubur lambuk telah diedarkan secara percuma kepada pelajar yang tinggal di kolej kediaman dan komuniti setempat oleh pihak Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Sudah menjadi rutin bantuan dan sumbangan berupa makanan sentiasa disediakan oleh pelbagai pihak yang prihatin terutama bagi juadah berbuka puasa di bulan Ramadhan yang penuh barakah dan mulia ini.
Dalam menuntut pahala yang berganda ini, pihak PTPTN dengan kerjasama HEPA telah menganjurkan program Imarah Ramadhan (IMRAN) bagi membantu pelajar UMT. Program ini adalah merupakan aktiviti gotong royong dan kerjasama dalam memasak bubur lambuk untuk diagihkan kepada pelajar sebagai juadah tambahan kepada mereka untuk berbuka puasa. Pelaksanaan program ini diharap dapat mengeratkan silaturrahim dalam kalangan pelajar, warga HEPA dan agensi PTPTN. Selain itu, ia juga dapat menambahkan keberkatan dalam bulan Ramadhan dengan memperbanyakkan sedekah dan sebagai tanda kesyukuran dalam berkongsi rezeki bersama para pelajar di UMT.
Apa yang lebih menarik dalam penganjuran program ini adalah bubur lambuk tersebut dimasak secara bergotong royong oleh staf HEPA dan PTPTN di perkarangan Kolej Kediaman UMT. Masakan ini telah dimasak dengan menggunakan bahan masakan yang sememangnya menjadi “signature” kepada masakan asli kampung dan rasa tradisional bubur lambuk sebenar. Pengagihan bubur lambuk tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, YBhg. Prof Madya Dr. Hafiz bin Zakariya. Turut serta dalam majlis tersebut adalah wakil Pengarah PTPTN Terengganu, Pengarah Pusat-Pusat di HEPA dan pegawai-pegawai yang berkaitan.
Program dan aktiviti kesukarelawan sebegini seharusnya dijadikan budaya dalam mengekalkan hubungan baik antara universiti, agensi dan komuniti selain mengimarahkan Ramadan dengan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat dan seterusnya berpeluang untuk meningkatkatkan ketakwaan kepada Allah SWT. Semoga program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan didoakan kita semua sentiasa dirahmati dan diberkati oleh-Nya.